AGILAN bekerja keras sebelum bergelar atlet MMA profesional.
AGILAN bekerja keras sebelum bergelar atlet MMA profesional.
AGILAN bekerja keras sebelum bergelar atlet MMA profesional.
AGILAN bekerja keras sebelum bergelar atlet MMA profesional.
AGILAN bekerja keras sebelum bergelar atlet MMA profesional.
AGILAN bekerja keras sebelum bergelar atlet MMA profesional.
AGILAN bekerja keras sebelum bergelar atlet MMA profesional.
AGILAN bekerja keras sebelum bergelar atlet MMA profesional.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Kemahiran yang diminati boleh dipelajari, tapi jika ia dilakukan tanpa usaha dan latihan secara berterusan pasti tidak akan membuahkan kejayaan.

Dalam apa juga bidang yang diceburi, disiplin juga perkara penting selain minat dan usaha untuk membuktikan kita benar-benar mahu berjaya.

Sama seperti jejaka berusia 20 tahun ini. Misi utamanya mempelajari seni mempertahankan diri, Brazilian jiu-jitsu (BJJ) adalah untuk mengelakkan diri daripada terus dibuli di samping menurunkan berat badan berlebihan.

Dulu dia memiliki berat badan 143 kilogram (kg) dan kini Agilan berjaya menurunkan berat badan sehingga 70kg. Namun, matlamat yang dipasang itu berubah kepada minat yang mendalam selepas mempelajarinya.

Secara perlahan, dia memperbaiki diri dan mencari kategori berat yang sesuai sebelum selesa sebagai atlet seni mempertahankan diri campuran atau mixed martial art (MMA) kelas 77kg.

Agilan Thanigasalam yang diberi jolokan Agilan ‘Alligator’ Thani dalam kalangan rakan seperjuangannya perlu­ mendapat­kan ilmu sebanyak mungkin sebelum bergelar atlet MMA.

Setiap atlet perlu mempunyai kemahiran seni bela kategori ‘stand up’ dan ‘ground’ bagi membolehkan mereka layak untuk bergelar pejuang MMA.

Kategori ‘stand up’ mensyaratkan atlet mempunyai kemahiran dalam seni bela seperti muay thai dan tae kwan do manakala kategori ‘ground’ pula seperti gusti dan BJJ.

Sering dibuli

Dia mempunyai semangat yang tinggi dan sangat berdisplin. Jika tidak berdisplin, pastinya atlet MMA ONE Championship (ONE) kategori welter weight dengan rekod profesional 4-0 ini tidak akan mampu mencapai kemenangan yang dikecapi seperti hari ini.

Di sebalik kejayaannya itu, ada kisah duka dan perit yang pernah dilalui hingga menjadikan Agilan Thanigasalam seorang yang tabah. Kisahnya bermula ketika di bangku sekolah menengah ketika usianya baru mencecah 13 tahun.

“Ketika usia berkenaan, saya sering dibuli rakan sekolah kerana mempunyai masalah berat badan. Bagi memastikan rakan tidak lagi membuli dan mempertahankan diri, saya tekad belajar karate.

“Namun, tidak disangka semakin banyak pula kegiatan buli selepas itu disebabkan ada rakan yang sengaja mahu mencabar kehebatan saya,” katanya dengan nada kecewa.

Ujarnya, satu ketika dia melayani filem Cina yang banyak menampilkan aksi kungfu dan jiu-jitsu yang menarik perhatiannya. Tanpa berlengah, dia segera mendapatkan maklumat terperinci mengenai seni mempertahankan diri itu. Tujuannya mempelajari dengan lebih mendalam mengenai seni BJJ kerana tidak lagi mahu dibuli secara berterusan.

“Pada masa sama, saya juga mengimpikan untuk menurunkan berat badan berlebihan bagi menjaga kesihatan tubuh. Saya sangat gembira kerana menemui lokasi yang boleh mengajar mengenai seni mempertahankan diri itu.

“Saya dapat tahu ada jurulatih yang mengadakan kelas mengajar jiu-jitsu di Petaling Jaya dan mencuba di sana. Selepas itu, saya beralih ke MMA Monarchy, Kuala Lumpur pula untuk mempelajari teknik seni itu dengan lebih mendalam,” katanya.

Pada masa sama, dia juga sanggup bekerja sebagai pencuci di gimnasium berkenaan dengan gaji kira-kira RM900 semata-mata mahu mempelajari seni mempertahankan diri itu secara berterusan.

Baginya, dia tidak kisah dengan pekerjaan yang dilakukan biarpun dibayar dengan gaji yang kecil asalkan dapat melakukan latihan setiap hari.

Usaha secara konsisten

Minatnya dalam dunia seni mempertahankan diri itu tidak pernah terhakis malah menjadikannya lebih berdisiplin untuk terus berlatih secara konsisten.

Pelbagai usaha dilakukan sendiri tanpa meminta belas daripada bapa atau rakan lain kerana tahu kejayaan hanya boleh dicipta dengan usaha yang berterusan.

Ketika usia 19 tahun, dia memberanikan diri untuk berentap kali pertama dalam acara Freestyle Fighting 3 (F3) dan berjaya menewaskan lawannya.

Selepas itu, barulah Agilan berjinak-jinak beraksi di Malaysia Invasion Mixed Martial Arts Fighting Championship (MIMMA) musim kedua.

Menariknya, dalam acara berkenaan dia perlu menang lima kali menewaskan lawannya sebelum digelar sebagai juara. Agilan perlu membuktikan kehebatannya dengan menyahut cabaran berkenaan dan akhirnya, dia berjaya.

Dia dinobatkan juara dalam pertandingan amatur, Tune Talk MIMMA2 pada Oktober lalu dalam kategori welter weight selepas menewaskan Ooi Aik Tong.

Agilan memegang rekod menang tanpa kalah dalam pertandingan amatur sebanyak lima kali.

“Disebabkan tidak dapat menyertai perlawanan setiap hari, agak sukar untuk saya mendapatkan motivasi diri. Justeru, saya jadikan bekas atlet MMA, BJ Penn sebagai idola kerana kehebatan­nya dalam perlawanan.

“Adakalanya, empat kali setahun dapat berlawan dan jika nasib kurang baik hanya sekali. Ini kerana tidak ramai atlet MMA dalam kategori saya iaitu 77kg di Asia,” katanya.

Bagi mendapatkan teknik yang lebih baik, Agilan berlatih di Amerika Syarikat untuk berguru dengan jurulatih yang mahir. Agilan akui, kini kehidupannya lebih terurus dan berdisplin selain aktif berlatih untuk kekal bertenaga.

Biarpun pernah tercedera dan terpaksa berehat selama empat bulan, itu bukan alasan untuk dia berputus asa dalam sukan yang diminati itu.

“Jika mahu menceburi sukan ini, kita perlu benar-benar faham mengenainya sebelum ambil keputusan berlatih. Selain itu, ja­ngan mudah putus asa sebaliknya lakukan latihan secara konsisten dan disiplin jika mahu berjaya,” katanya.

Pada 13 Mac lalu, Agilan menampilkan aksi kali pertama dalam acara ONE: Age of Champions dengan menewaskan atlet Indonesia, Reant Febriza Rainir.

Ia sekali gus membuktikan platform kejohanan amatur MIMMA mampu melahirkan atlet MMA kelas dunia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2016 @ 8:32 AM