ANTARA aksi menarik Aiman ketika menentang  Chen Lei.
ANTARA aksi menarik Aiman ketika menentang Chen Lei.
Meor Riduwan Meor Ahmad


HAMPIR lapan bulan tidak bertanding, atlet seni bela diri campuran, Muhammad Aiman Raziz Affindi yang berguru di Bali, Indonesia bersedia meletakkan Malaysia di pentas dunia apabila kembali ke gelanggang untuk perlawanan pertamanya tahun ini pada Jumaat ini.

Bekas peninju kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini yang terkenal dengan gelaran 'Jungle Cat' bakal bertarung dengan atlet Indonesia, Sunoto Peringkat pada kejohanan ONE: Dawn Of Heroes' di Mall of Asia Arena, Manila Filipina.

Berbekalkan rekod lima kemenangan dan tiga kekalahan, Muhammad Aiman nekad bertarung sebaik mungkin bagi merebut kemenangan keenamnya.

"Selain melakukan latihan intensif, Aiman berjanji kepada peminat di Malaysia untuk menampilkan versi dirinya yang baharu di Manila menentang seorang daripada jaguh terhebat dari Indonesia yang digelar 'The Terminator'.

AIMAN sedia letak nama Malaysia di pentas dunia.
AIMAN sedia letak nama Malaysia di pentas dunia.

"Pertarungan ini bakal menyaksikan kehebatan teknikal kedua-dua atlet dengan Aiman dijangka meningkatkan bahang perlawanan bagi merebut semula kemenangan pernah dikecapi sebelum ini selepas tewas kepada Shuya Kamikubo pada November 2018," katanya kepada ONE Championship.

Pertarungan itu acara pertama daripada 15 perlawanan dijadualkan menemui peminat sukan seni bela diri di seluruh dunia termasuk penonton yang bakal hadir di Mall of Asia Arena.

Menurut ONE, Muhammad Aiman, 24, yang juga anak didik Bali MMA mengawal permainan dalam gelanggang dan mempunyai gerak kaki hebat seperti dipamerkan ketika menentang pertarung dari China, Yang Fei pada acara ONE: Heart Of The Lion sebelum ini.

"Antara kekuatan utama Aiman adalah kombinasi tendangan dan tumbukannya yang mampu menumbangkan lawan seperti Eduardo Novaes dan Hisyam Samsudin.

"Gerakan luar kotak ditambah kebolehan mengelak serangan lawan serta kelebihan dalam serangan dan pertahanan menjadikan Aiman antara lawan digeruni. Bekas juara Seni Mempertahankan Diri Campuran Malaysia (MIMMA) bagi kategori bantamweight ini juga pakar dalam menjatuhkan lawan," katanya.

Kebolehan itu penting menjelang pertarungan dengan Sunoto yang hebat dalam Jiu-Jitsu dan pakar dalam kuncian selain pernah menumpaskan jaguh MMA seperti Yohan Mulia Legowo, Rin Saroth dan Bernard Soriano.

AIMAN melepaskan tumbukan padu ke arah  Chen Lei.
AIMAN melepaskan tumbukan padu ke arah Chen Lei.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 1:58 PM