Alam menyimpan seribu satu bahan semula jadi yang mempunyai kebolehan merawat masalah kulit dan menjadikannya lebih cantik dan mulus.

Antara bahan semula jadi yang terbukti berkesan dan sering digunakan sebagai produk penjagaan kulit ialah minyak tea tree, ekstrak peria dan juga rumpai laut.

Minyak tea tree sememangnya popular kerana memiliki sifat antibakteria dan mampu membunuh kuman. Ia banyak digunakan dalam produk kosmetik kerana keupayaan­nya menghapuskan jerawat dan sebarang cela di wajah.

Ia juga boleh digunakan untuk membunuh kulat atau jangkitan pada kulit, selain bersifat antiseptik untuk merawat kesan terbakar, gigitan serangga dan gatal pada kulit.

Selalunya minyak tea tree yang juga bahan semula jadi yang selamat, disapu terus pada kulit bagi mendapatkan kesan diingini.

Begitu juga dengan peria yang banyak terdapat di bahagian Asia Tenggara dan selalunya digunakan dalam masakan.

Rasanya yang pahit menjadi ubat bukan saja dimakan, tetapi apabila disapu pada kulit. Ia kaya vitamin C yang bertindak sebagai antioksidan terbaik melawan radikal bebas. Pengambilan vitamin C yang cukup bukan saja bertindak melindungi kulit daripada elemen merosak­kan, ia juga meningkatkan kesihatan kulit.

Selain vitamin C, peria juga kaya flavonoid seperti karotin, lutein, zea-xanthin dan vitamin A yang bergabung untuk menghalang masalah penuaan pramatang kulit.

Manakala bagi rumpai laut pula, ia tergolong dalam keluarga alga yang kaya dengan vitamin dan mineral. Ia boleh dimakan ataupun disapu terus pada kulit untuk memberi kelembapan selain bertindak sebagai ejen menyingkirkan sel kulit mati, seterusnya memberi wajah lebih segar.

Rumpai laut juga memiliki sifat antiradang yang memberi kesan positif pada kulit dan menenangkannya selain mengelak masalah seperti kulit kering dan jerawat. Apabila disapu pada kulit, ia mampu menarik lebihan cecair dan toksin dari dalam tubuh serta membersihkan kulit.

Sifatnya yang membersih juga banyak digunakan oleh spa untuk menyingkirkan masalah seperti bintik hitam, bintik putih, kemerahan, akne dan jerawat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 9:51 AM