DAENG atau dikenali sebagai Bos di Kalijodo dilihat tiba di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi di Jakarta dengan  Mercedes.
DAENG atau dikenali sebagai Bos di Kalijodo dilihat tiba di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi di Jakarta dengan Mercedes.

Jakarta: Penduduk di Kalijodo di Jakarta Utara yang terkenal dengan aktiviti pelacuran melawat pejabat Suruhanjaya Kebangsaan untuk Hak Asasi Manusia (Komnas HAM) kelmarin dalam usaha mereka menghalang rancangan kerajaan mengusir penghuni dari kawasan itu.

Kumpulan itu mendakwa, kerajaan tidak pernah berbincang dengan mereka mengenai pelan untuk mengubah kawasan berkenaan yang terkenal dengan aktiviti pelacuran, alkohol dan perjudian itu menjadi kawasan hijau terbuka.

“Pihak berkuasa Jakarta tidak pernah memberitahu apa pun kepada penduduk.

“Mereka hanya datang untuk menampal pengumuman itu dan mengambil gambar untuk dokumentasi. Adakah itu berjaya menyelesaikan masalah?” kata seorang penduduk, Leonard Eko Wahyu.

Penduduk juga berasa terancam apabila kerajaan dilaporkan menghantar anggota keselamatan bersenjata berat ke kawasan itu.

“Kami mahu berjumpa pegawai di Komnas HAM dan Dewan Bandar Raya Jakarta kerana merasakan datuk bandar Jakarta Utara, pegawai daerah dan pemimpin tempatan tidak mendengar pendapat kami.

“Kami merancang untuk mengadakan tunjuk perasaan,” kata tokoh berpengaruh di Kalijodo, Daeng Azis.

Kerajaan sebelum ini memberi jaminan, penduduk yang dipindahkan diberi pampasan dan akan ditempatkan di apartmen kos rendah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 8:57 AM