SHARIF menunjukkan beras wangi MRQ76 MARDI yang dihasilkan.
SHARIF menunjukkan beras wangi MRQ76 MARDI yang dihasilkan.
Oleh Mohamad Hussin


Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dikenali sebagai peneraju bidang agroteknologi pertanian negara bakal memberi tumpuan kepada pemba­ngunan inovasi yang boleh dikomersialkan.

Ia selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan 2016 sebagai tahun pengkomersialan. Inovasi dalam pertanian perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan holistik bukan terhad kepada inovasi teknologi semata-mata.

Antara teknologi yang bakal dikomersialkan tahun ini adalah hasil ciptaan menggunakan Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) yang memenangi pingat emas pada Pameran Perdagangan Antarabangsa (IENA) di Nuremberg, Jerman, tahun lalu.

MARDI juga bakal mengadakan pameran agroteknologi untuk menunjukkan produk yang sudah dihasilkan MARDI dalam memberi impak kepada industri selain mengenal pasti produk yang hendak ditawarkan kepada orang ramai.

Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Sharif Haron berkata, proses dalam mempromosi dan mengkomersialkan teknologi perlu dikaji supaya ia benar-benar kreatif, inovatif dan pratikal bagi mendapat impak besar kepada golongan sasar.

Beliau berkata, antara usaha penjenamaan semula yang menyusun semula kedudukan MARDI adalah menonjolkan kehadiran institut penyelidikan itu melalui pengkomersialan produk.

“Mungkin kita sudah mempunyai pelbagai teknologi atau produk, namun belum menghasilkan inovasi dalam penjenamaan, pemasaran, model perniagaan, strategi dan proses.

“Ini bermakna kita belum berjaya mengetengahkan teknologi ke dalam pasaran secara berkesan,” katanya dalam temubual khas berkenaan pencapaian tahun 2015 dan perancangan 2016 MARDI di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Menurutnya, sejak MARDI ditubuhkan, pihaknya sudah menghasilkan lebih 586 teknologi dan penemuan baru serta 68 teknologi berpotensi untuk dipertingkatkan ke skala besar.

“Tahun lalu, antara teknologi baru yang diperkenalkan adalah varieti padi baru dinamakan MARDI 284 berpotensi diperkenalkan sebagai varieti pelengkap kepada varieti sedia ada.

“Ia memberikan hasil tinggi, tekstur nasi yang lembut dan mewujudkan kepelbagaian diversiti genetik dalam jelapang padi,” katanya.

Sharif berkata, buat masa ini, tahap sara diri keperluan beras negara (SSL) hanya kira-kira 72 peratus, malah negara ini masih mengimport beras dari luar negara.

“Kita import beras putih dan beras istimewa termasuk beras wangi dan jenis basmathi terutama dari Vietnam, Thailand dan India.

“Justeru itu, pengeluaran padi negara boleh ditingkatkan melalui kawasan yang ditanam atau meningkatkan produktiviti bagi setiap unit kawasan.

“Pembukaan kawasan baru untuk penanaman padi mungkin mahal dan kesuburan tanah yang wujud di kawasan berkenaan boleh menjadi faktor penghalang,” katanya.

Menurutnya, peningkatan dalam pengeluaran padi harus dilakukan melalui meningkatkan produktiviti seunit kawasan yang boleh dicapai melalui penyelidikan.

“Peranan MARDI sebagai penjana teknologi untuk beras khususnya dalam pembangunan dan pengenalan varieti padi baru, pengurusan nutrien, rumpai, air, perosak, penyakit, mekanisas dan promosi teknologi.

“Setakat ini, MARDI sudah menghasilkan lebih daripada 40 varieti padi de­ngan pelbagai ciri antaranya varieti setanjung, MR84, MR219 dan MR220.

“Varieti MR219 dan MR220 sudah ditanam melebihi 20 musim atau kira-kira 10 tahun. Kedua-dua varieti ini ditanam melebihi 90 peratus daripada jumlah kawasan tanaman di negara ini pada tahun 2010,” katanya.

Beliau berkata, beberapa varieti baru padi yang sudah diisytiharkan termasuk MR253, MR263, MR269 dan MRQ76, malah, orang ramai masih tidak menyedari bahawa 90 peratus beras yang diambil rakyat negara ini adalah hasil penyelidikan MARDI.

“Varieti padi wangi istimewa baru iaitu MRQ76 dan MRQ74 dibangunkan MARDI mempunyai 80 peratus ciri-ciri sama dengan beras wangi dari luar negara, sekali gus membolehkan ia menembusi pasaran berbanding beras putih biasa.

“Ia sudah ditanam di luar jelapang iaitu di Ledang, Johor, pada 2014 sementara MRQ74 pula ditanam di Guai Ipoh, Kelantan, pada Mei tahun lalu.

“MARDI dengan kerjasama BASF Malaysia Sdn Bhd juga berjaya membangunkan dua varieti padi iaitu MR220CL1 dan MR220CL2 yang toleran kepada racun imidazolinone berkesan untuk mengawal padi angin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 5:40 AM