PENGUNJUNG melihat varieti padi MARDI Wangi 88 di Laman Padi sempena MAHA 2016.
PENGUNJUNG melihat varieti padi MARDI Wangi 88 di Laman Padi sempena MAHA 2016.
ALI (dua dari kanan) melancarkan varieti baru padi MARDI Wangi 88 di Laman Padi sempena MAHA 2016, sambil diperhatikan Sharif (tiga dari kiri), Ismail (dua dari kiri) dan Fauzi (kiri).
ALI (dua dari kanan) melancarkan varieti baru padi MARDI Wangi 88 di Laman Padi sempena MAHA 2016, sambil diperhatikan Sharif (tiga dari kiri), Ismail (dua dari kiri) dan Fauzi (kiri).
 PENYELIDIK baik baka padi MARDI Wangi 88, Dr Asfaliza Ramli menunjukkan padi berkenaan.
PENYELIDIK baik baka padi MARDI Wangi 88, Dr Asfaliza Ramli menunjukkan padi berkenaan.
Mohamad Hussin


Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menghasilkan satu lagi varieti padi baru dikenali sebagai MARDI Wangi 88.

Varieti padi wangi 88 mula dibangunkan pada 2003 menggunakan induk popular daripada Filipina iaitu IR 841 dan MRQ 74.

Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Sharif Haron berkata, varieti padi MARDI wangi 88 adalah hasil penyelidikan ke-45 dan antara varieti ketiga beras wangi dalam penghasilan beras baru bagi mengukuhkan industri beras wangi negara.

Beliau berkata, beras itu mempunyai potensi hasil sekitar 4.5 sehektar dan ciri pulangan mengilang sekitar 63 peratus. Berasnya pula panjang dan tirus.

“Pokok padi ini juga lebih rintang kepada penyakit dan perosak utama. Pengeluaran padi wangi ini dijangka dapat mengurangkan import beras wangi dari negara jiran.

“MARDI Wangi 88 boleh dipromosi sebagai beras wangi cita rasa Malaysia terutama dalam kalangan pengguna yang lebih menggemari beras sederhana lembut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran padi varieti baru itu di Laman Padi sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan 2016 (MAHA 2016) di Taman Pameran Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Dr Ismail Abu Bakar dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Fauzi Ali.

Sharif berkata, promosi varieti itu juga boleh disasarkan kepada bukan penggemar beras wangi kerana ciri nasi varieti ini sama seperti beras biasa.

“Ia melalui proses pembaikbakaan yang standard iaitu pemilihan titisan pedigree, ujian hasil awal, ujian hasil lanjutan, ujian multilokasi dan ujian penentusahan setempat (LVT).

“Hasil ujian semua proses ini menunjukkan MRQ 88 lebih rintang kepada penyakit dan perosak utama padi tetapi hasilnya kurang berbanding MRQ 89,” katanya.

Menurutnya, MRQ 88 adalah pokok sederhana tinggi dengan morfologi kanopi pokok dan daun pengasuh yang tegak.

“Skor wangi MRQ 88 lebih baik berbanding MRQ 74 dan setanding dengan MRQ 76. Ciri utama membezakan MRQ 88 dan MRQ 74 dan MRQ 76 ialah dari segi kandungan amilos sederhana yang setara dengan nasi sederhana lembut.

“Ciri ini berbeza berbanding MRQ 74 yang nasinya peroi manakala MRQ 76 yang ciri nasinya lembut dan melekit. Dengan itu, MRQ 88 berada di antara dua kelas dinyatakan. Ciri nutrisinya lebih baik berbanding MRQ 89,” katanya.

Sementara itu, Sharif berkata, pihaknya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan MADA dan Bayer Co (Malaysia) Sdn Bhd (Bayer) menerusi projek Pembangunan Teknologi Padi Hibrid melalui konsep kerjasama awam-swasta.

“Melalui projek ini, MARDI akan menjalankan penyelidikan bagi menentukan kesesuaian varieti padi hibrid daripada syarikat Bayer dalam keadaan tempatan dan varieti serta pakej teknologi yang akan dibangunkan.

“Ia seterusnya akan ditanam di kawasan MADA sebelum memperkembangkan secara komersial ke kawasan padi lain. Jabatan Pertanian pula akan membantu aspek kuarantin, kualiti benih dan pengembangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 11:11 AM