Zabawi Abdul Ghani (tengah) menerima jentera penyembur. FOTO Nur Izzati Mohamad
Zabawi Abdul Ghani (tengah) menerima jentera penyembur. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) menjangkakan varieti padi MRQ103 akan mula ditanam dan diperkenalkan di pasaran menjelang tahun hadapan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, setakat ini penghasilan MRQ 103 kini berada di peringkat akhir penyelidikan yang bermula pada 2009.

Menurutnya, varieti MRQ103 adalah padi beras wangi terbaik terutama kepada pesakit kencing manis yang menitikberatkan kesihatan memandangkan ia mempunyai skor glisemik (GI) rendah.

"Ia adalah varieti wangi dan salah satu ciri baik berbanding yang kita isytihar pada tahun ini iaitu MRQ 104 atau Kembang Sari kerana ia mempunyai GI rendah.

"Buat masa ini, penghasilannya berada pada peringkat akhir dan menjangkakan varieti ini dapat ditanam serta dipasarkan mulai tahun hadapan," katanya pada Majlis Sumbangan Prihatin Anjuran Mardi, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Mohamad turut menerima sumbangan program khidmat masyarakat daripada syarikat Agricultural Chemicals (M) Sdn Bhd iaitu sebuah jentera penyembur pelepasan tinggi pelbagai guna dengan corong baja untuk tujuan penyelidikan.

Mohamad berkata, sehingga kini, Mardi sudah menghasilkan lebih 1,000 teknologi digunakan petani, usahawan dan syarikat dalam bentuk kegunaan awam atau komersial.

"Bagi varieti padi, Mardi sudah menghasilkan 52 varieti setakat ini dan hampir 90 peratus kawasan jelapang padi di negara ini ditanam dengan varieti yang kita hasilkan.

"Satu-satu varieti ambil masa di antara lapan hingga 10 tahun dan kita akan sentiasa hasilkan yang lebih baik daripada sebelumnya dari segi hasil serta ketahanan kepada perosak dan penyakit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 6:11 PM