SANDWICH dihidangkan Studio Cafe.
SANDWICH dihidangkan Studio Cafe.
Nurul Husna Mahmud


Kewujudan Cafe Studio di The Strand Kota Damansara tentu saja khabar gembira buat mereka yang mencari hidangan sihat dan menepati diet seharian.

Mana tidaknya kafe terbabit menawarkan salad serta sandwic sebagai menu utama.

Lebih unik elemen penting dalam menu berkenaan adalah sos serta kuah diadun sendiri oleh cef kulinari berpengalaman bagi menonjolkan snek sihat itu.

Menurut pengurus kafe, Noor Suaidah Mohd Arif, mereka memilih konsep hidangan utama berasaskan salad serta sandwic kerana permintaan terhadap hidangan itu dalam kalangan mereka yang mementingkan kesihatan.

“Ini satu kelainan Cafe Studio ingin tonjolkan iaitu menghasilkan makan berkualiti serta sihat. Kami mahu pelanggan datang dan merasakan makanan sihat ini sesuatu hidangan utama perlu diambil agar memberi kesan baik pada tubuh.

“Dalam sudut lain, makanan sihat juga sesuatu yang enak dan cantik. Kalau pengunjung lihat pada persembahan makanan contohnya sandwic kami sajikan, seolah-olah menyerupai binaan pokok menunjukkan kemahiran bertahap kraf kulinari agar pelanggan teruja.

“Ini seiring dengan konsep dekorasi kedai yang santai dan eksentrik. Kami mencabar cef di kafe ini turut kreatif dalam penyediaan menu baik segi rasa juga rupa hidangan disajikan kepada pelanggan.

“Ada sembilan pilihan salad dan sandwic kami tawarkan ketika ini. Tetapi paling popular ialah ‘Octopus’ dan ‘SpicyChicken’ bagi salad manakala sandwic, ‘crab sandwich’. Keistimewaan untuk pelanggan di sini pastinya rambang mata dengan 16 pilihan sos atau kuah bagi salad,” katanya.

Nilai ekstra mengenai kafe terbabit ialah pilihan minuman di situ. Kata Suaidah, mereka mempunyai penyedia minuman bertaraf barista.

“Kami mempunyai opsyen terbaik buat penggemar kopi kerana di sini kami mempunyai variasi pilihan kualiti serta jenis kopi premium. Baik segi bahan sehingga penyediaan kopi, kami mementingkan seni bancuhan dan rasa kopi kerana memikirkan kepuasan peminat minuman terbabit.

“Pilihan mocktail kami juga menarik kerana kombinasi unik selain penyajian unik. Minuman teh pula berasaskan ramuan segar antaranya markisar mahupun delima pastinya memberi aroma segar serta tenang dan baik terhadap tubuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 5:01 AM