AFANDI Oh bersama kebab Turki.
AFANDI Oh bersama kebab Turki.
PENYEDIAAN kebab sebelum digulung.
PENYEDIAAN kebab sebelum digulung.
Intan Mas Ayu Shahimi


Ringkas, enak dan mengenyangkan. Bagi mereka yang tidak berkesempatan menjamah nasi, Kebab Turki Baba Rafi (Kebab Turki) adalah pilihan tepat untuk mengekalkan pengambilan diet seimbang dengan makanan sihat.

Didatangkan dengan tiga pilihan inti lazat iaitu ayam, daging dan sayur-sayuran segar, kebab ini boleh didapati pada harga kurang RM10. Ia praktikal dibawa ke mana saja, menjadikan waktu makan tengah hari dan petang anda lebih fleksibel dan menyenangkan.

Pengarah Urusan Kumpulan Inky Afandi Oh Omar Oh berkata, keistimewaan kebab Turkinya terletak pada bahan asas seperti roti tortila dibuat sendiri, daging dan ayam yang diperap menggunakan rempah khas, tujuh pilihan sos istimewa cita rasa tempatan dan sayur segar.

“Kebab ini kita bawa secara francais dari Indonesia. Di sana, mereka sudah pun mempunyai kira-kira 1,200 kios. Walaupun dinamakan sebagai kebab Turki, namun rasanya disesuaikan dengan selera tempatan.

“Perapan daging dan ayamnya menggunakan rempah khas, sementara sos pula dipilih berdasarkan populariti di Malaysia,” katanya.

Jelas Afandi, pelanggan yang datang boleh memilih menu ayam atau daging, diikuti jenis roti, sama ada tortila kosong, bawang putih atau mil penuh.

“Setiap hidangan yang kita sediakan adalah menyihatkan. Sayur yang digunakan juga segar dan dipilih dalam kalangan produk premium untuk keenakan rasa berganda.

“Kelebihan utama kita berbanding Indonesia adalah pilihan sos. Di Malaysia, pelanggan boleh mencuba sos cili, tomato, barbeku, kari-mayo, mayonis, lada hitam dan peri-peri. Mereka juga boleh berinovasi dengan menambah telur, keju cheddar, daging dan hirisan ayam untuk rasa yang lebih mewah,” katanya.

Selain kebab, kios di Tingkat 4, Sunway Putra Mall itu turut menyediakan makanan sampingan seperti sosej, burger dan minuman kepada pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 12:38 PM