ANTARA hidangan di Garage Cafe.
ANTARA hidangan di Garage Cafe.
SLOOPY yang mendapat permintaan tinggi pelanggan.
SLOOPY yang mendapat permintaan tinggi pelanggan.
FAIRUZ bersama Abang Yusuf di Garage Cafe baru-baru ini.
FAIRUZ bersama Abang Yusuf di Garage Cafe baru-baru ini.
Hidayatul Akmal Ahmad


Kafe hipster kini menjadi trend dalam kalangan warga kota kerana konsep yang diterapkan amat santai untuk semua peringkat usia. Kini, kafe yang berkonsepkan hipster dengan melabelkan muzik ‘independent’, vintaj dan juga kopi yang berseni menjadi trend golongan masa kini.

Mempertaruhkan menu Barat, Itali dan minuman istimewa sloppy troofer, pemilik Garage Cafe, Fairuz Maxson Abdullah, 33, berkata sejak dibuka Disember tahun lalu mendapat sambutan amat menggalakkan.

“Dulu kami hanya bermula dengan 20 meja, tetapi kini sudah bertambah kepada 39 buah. Walaupun konsep hipster dilihat lebih ke arah golongan muda, jangan terkejut kerana ramai yang datang membawa keluarga.

“Selain makan bersama keluarga, The Garage Kuala Lumpur juga sering dijadikan tempat perjumpaan semula (reunion), majlis hari jadi, perjumpaan korporat dan sebagainya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, terdapat kira-kira 50 jenis makanan seperti chicken chop, pasta, burger, piza, sandwic, serta pencuci mulut manakala untuk minuman pula, sloppy, milk shake, smoothie, kopi, frappe dan sebagainya.

Menariknya, Garage Cafe turut menghimpunkan ratusan patung karakter Star Wars khusus untuk peminat filem berkenaan. Selain itu, di satu sudut terdapat sebuah bilik ‘mini’ yang mampu memuatkan kira-kira 25 orang khas untuk mereka yang mahukan privasi atau majlis persendirian.

Ditanya mengenai beza kafenya berbanding kafe hipster lain, Fairuz menjelaskan antara yang menarik perhatian pelanggan ialah dia tidak kedekut dalam setiap hidangannya.

“Setiap hidangan misalnya yang memerlukan udang, sotong atau ayam, kami tidak ‘kedekut’ dan letak dalam kuantiti yang banyak. Kepuasan pelanggan adalah keutamaan kami dan semestinya menggunakan bahan yang segar. Apabila pelanggan gembira, kami juga gembira,” katanya.

Daging, sos tambat hati Abang Yusuf

Suatu ketika dulu mereka pernah mencipta fenomena menerusi lagu A.I.A (Ayah, Ibu, Anak). Lagu ‘berhantu’ itu juga sering mendapat permintaan tinggi dan selalu dimainkan di corong radio.

Kini selepas 15 tahun, kumpulan Baji yang diketuai vokalis Abang Yusuf Abang Daud, atau Usoff, 41, berkata kumpulan itu kini kembali atas permintaan peminat yang masih mengingati mereka.

“Setakat ini kami sudah menghasilkan dua single iaitu Bintang Terhenti dan Keliru. Lagu ini dirakam pada 2014 dan baru sekarang dikeluarkan kerana dirasakan sesuai.

“Meskipun terdapat dua anggota baru yang menggantikan Wazeer (gitar) dan Arul (bass), hubungan kami dengan anggota asal masih sama seperti dulu dan kerap berhubung,” katanya yang menjalankan perniagaan sendiri.

Ditanya soal makanan kegemaran, Usoff berkata, dia sangat gemar makanan Barat seperti lamb chop dan mengakui agak cerewet terutama soal sos dan daging.

“Saya boleh masak sebab itu agak ‘prihatin’ apabila mendapat hidangan yang tidak memenuhi cita rasa. Misalnya daging yang kurang masak dan sos yang cair.

“Tetapi di Garage Cafe, kali pertama saya makan makanan Barat yang benar-benar memenuhi cita rasa. Dagingnya masak elok serta sos ‘mewah’ dengan rasa umph. Begitu juga dengan hidangan lain yang tidak mengecewakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:01 AM