Teks dan gambar Kusyi Hirdan

Kami menjejak pasangan ini hingga ke Serkam, Melaka. Mereka tinggal di situ bersama dua anak yang kecil. Sebaik tiba, nampak ke-dua-dua sibuk 'berperang' memasak. Pasti mereka sedang memenuhi tempahan penghantaran.

Ketika memberitahu mahu menulis mengenai perniagaan mereka, tindak balas awal si suri rumah ialah, 'Awak berguraukah?'

Dia tidak percaya dan kemudian mengaku sebenarnya rasa segan.

Penulis memberitahu mengenai fokus kepada masakan siputnya yang mahu ditulis, akhirnya Noor Zullita Rahim, 33, bersetuju.

Siput mungkin biasa saja bagi kita tetapi melihatkan Noor Zullita dan suaminya Mohd Yusri Yusop, 33, menceburi bidang penghantaran ke muka pintu, ia menjadi cerita yang penuh kelainan, istimewa dan unik.

Nama mereka di laman sosial pun Gulai Siput Delivery Melaka.

Zullita dulu pernah bekerja tetapi kemudian berasa hubungan bersama anak-anaknya semakin renggang. Pasangan ini mempunyai dua anak berusia lima dan tiga tahun.

"Dari situ saya rasakan perlu berhenti kerja supaya hubungan dengan anak rapat kembali," katanya.

Bagaimana siput sedut boleh menjadi pilihan Zullita dan Yusri?

Rupanya sebelum ini Yusri yang mempunyai kerja tetap, sudah menjual siput segar di masa lapangnya demi menambah pendapatan keluarga. Melalui laman sosial juga kalangan penggemar siput sedut segar tahu boleh mendapatkannya daripada Yusri sama ada pergi ke rumahnya atau meminta perkhidmatan penghantaran. Semuanya boleh diatur.

"Suami memang mencari siput dan jual pada peraih dan mereka yang berminat. Cuma lebih kurang setahun lalu kami memikirkan mengapa tidak menjual siput yang siap dimasak sekali?

"Lalu kami mencuba dan menguar-uarkan di laman sosial. Ia terus mendapat sambutan yang baik. Apatah lagi kami buat servis penghantaran, ramai yang suka," katanya.

Merasa menu siput yang dimasak Zullita hari itu, gulai lemak, rendang, sambal dan masak lada hitam, memang lazat sekali. Ternyata, wanita berasal dari Jasin itu sangat pandai memasak, ditambah dengan siput yang sangat segar, rasa tidak boleh berhenti pula.

"Siput sedut kami memang sangat segar kerana suami saya menangkapnya sendiri untuk jualan," katanya.

Kita mungkin pernah merasa masakan siput sedut yang tidak segar dan berlendir. Ia mempengaruhi kualiti kesedapan makanan dan kemudian membuatkan kita serik.

Siput sedut Zullita yang segar membuatkan kita seronok menikmatinya begitu saja walaupun tanpa nasi.

Antara menu pertama untuk penghantaran ialah gulai lemak siput bersama keladi. Kemudian rendang dan kini dipelbagai dengan sambal dan masak lada hitam.

Apabila mempunyai servis penghantaran, ia cepat sekali diminati pelanggan seluruh Melaka kerana ia ternyata praktikal dalam kalangan mereka yang sibuk dengan kerjaya dan mereka yang mahu mengubah selera.

"Pelanggan kami terdiri daripada suri rumah hinggalah mereka yang bekerja. Ada pelanggan berulang dan pelanggan baru. Selain melalui laman sosial, ia juga melalui hebahan mulut ke mulut yang puas hati dengan masakan dan servis kami. Penggemar siput sedut memang ramai dan paling digemari sekarang ialah menu gulai lemak dan sambal," katanya.

Penghantaran dibuat ke seluruh Melaka setelah menerima tempahan sehari sebelumnya.

"Syarat penghantaran ke muka pintu adalah mesti ambil dua bekas sekali tempah dan kami tidak mengenakan caj penghantaran. Harga bermula RM10 sebekas untuk 450 gram," kata Yusri.

Pada waktu puncak, Zullita yang dibantu suaminya memasak semua menu boleh mencapai jualan sehingga lima kilogram siput sedut sehari.

"Namun, tempahan berkurang pada cuti hujung minggu atau cuti sekolah kerana mungkin waktu itu banyak kenduri-kendara dan kaum ibu sendiri memasak di rumah. Namun, kami turut menerima tempahan siput yang banyak untuk dijadikan juadah kenduri," katanya.

Zullita mengaku seronok dengan perniagaan yang ha-nya dibuatnya di rumah itu.

"Seronok dapat menambah pendapatan keluarga. Buat di rumah sendiri, anak-anak berada di depan mata. Rajin kerja, bertambahlah pendapatan. Semuanya atas daya usaha diri kita sendiri," katanya.

Pasangan muda ini berharap mereka dapat membuka restoran dengan servis penghantaran tetap diteruskan dan menjadi pengenalan mereka. Insya-Allah, dengan rasa yang sedap dan perkhidmatan yang baik, tidak mustahil ia menjadi kenyataan suatu hari nanti.

Bagi yang mahu merasa menu masakan siput sedut yang enak air tangan Zullita, bolehlah melihat mereka di Facebook Gulai Siput Delivery Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:00 AM