Azhan Ismail

Putrajaya: Pasukan Siput Sedut (gambar) muncul juara edisi ke-10 Liga Badminton Yob4ever 2017 di Putrajaya, baru-baru ini.

Siput Sedut yang diketuai Abdullah Hussin berjaya mengejutkan juara liga, Evolut10n dalam perlawanan akhir. Kejohanan badminton berpasukan itu membabitkan penyertaan ahli Kelab Penyokong Siber Bolasepak Perak, Yob4ever yang merupakan acara tahunan sejak 2008.

Perlawanan akhir yang dijangkakan sengit tidak menjadi kenyataan apabila dua beregu utama Siput Sedut mudah memenangi perlawanan masing-masing. Beregu pertama, Abdullah dan Sapari berjaya menewaskan wakil Evolut10n, Yushaslam dan Shalbydin 21-9, 21-17 untuk mendahului 1-0. Beregu kedua, Mohd Najib dan Zulkifli meraih mata kemenangan walaupun cuba diberi saingan pada set kedua oleh gandingan Azhan dan Zainurin sebelum menang 21-8, 21-18. Kemenangan mutlak ini menjadikan perlawanan beregu ketiga antara Kamarul Ridzuan dan Hamdan menentang Khairy dan Shafiq tidak dilangsungkan.

Evolut10n sebelum ini berjaya menjadi juara liga setelah memenangi semua perlawanan pusingan awal menewaskan Ketumbar 2-1, Siput Sedut 2-1 dan Drop Shot 3-0. Sementara itu bagi kategori beregu individu santai yang pertama kali diadakan, pasangan Ahmad Fakhrul Anuar dan Mohd Zulazuan (Ketumbar) muncul juara mengatasi beregu Mohd Dzran dan Aidi Ismail (Drop Shot) 22-20, 21-19.

Zulkifli menambahkan keceriaan pasukan Siput Sedut apabila muncul pemain terbaik kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 8:50 AM