AIR Sungai Melaka bertukar hitam dipercayai berpunca dari aliran sungai Batu Hampar di Taman Rempah. FOTO Khairunisah Lokman
AIR Sungai Melaka bertukar hitam dipercayai berpunca dari aliran sungai Batu Hampar di Taman Rempah. FOTO Khairunisah Lokman
Mohd Hilmie Hussin


PERKHIDMATAN Melaka River Cruise mungkin terpaksa digantung sementara berikutan pencemaran air serta bau di lokasi pelancongan di Taman Rempah, sejak semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka, Azlan Abidin berkata, pencemaran air hingga berwarna gelap, selain bau busuk sedang diatasi namun jika keadaan bertambah buruk, pihaknya terpaksa menggantung operasi bot buat sementara.

“Kakitangan kami masih menjalankan aktiviti pembersihan dengan memungut bangkai ikan di permukaan air.

“Seramai 60 kakitangan giat melakukan pembersihan ini selepas kita menerima banyak aduan daripada pelancong yang menggunakan perkhidmatan Melaka River Cruise,” katanya ketika ditemui di jeti River Cruise, Taman Rempah, hari ini.

PENCEMARAN sungai Melaka menyebabkan hidupan air mati. FOTO Khairunisah Lokman
PENCEMARAN sungai Melaka menyebabkan hidupan air mati. FOTO Khairunisah Lokman

Menurutnya, siasatan mendapati, air berwarna hitam bermula dari Batu Hampar, Batu Berendam, dipercayai mengalir ke Sungai Melaka hingga ke Taman Rempah, lokasi bot River Cruise beroperasi.

Beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah dimaklumkan dan berharap masalah terbabit dapat diatasi segera.

Katanya, air terbabit dijangka dilepaskan keluar ke laut, namun menunggu air laut pasang dan proses itu dilakukan jam 12 tengah malam nanti.

“Ketika ini air laut sedang surut, kita tidak boleh buang air ke laut kerana sungai akan kering,” katanya sambil mengesahkan kejadian itu yang pertama berlaku sejak 2006.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong berkata, pencemaran dipercayai berlaku sepanjang tiga kilometer (km) sejak malam tadi.

“Pencemaran sungai ini dipercayai bermula dari Empangan Batu Hampar, Batu Berendam dan saya sudah mengarahkan JAS mengambil sampel air serta bangkai ikan untuk membuat siasatan bagi mengenalpasti punca.

“Perkara ini juga sudah dirujuk kepada Jabatan Kesihatan selain pihak Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 4:05 PM