Mangsa banjir di Tampin pulang ke kediaman masing-masing dan anggota JPAM Negeri Sembilan bantu hantar mangsa banjir pulang. FOTO ihsan JPAM Negeri Sembilan
Mangsa banjir di Tampin pulang ke kediaman masing-masing dan anggota JPAM Negeri Sembilan bantu hantar mangsa banjir pulang. FOTO ihsan JPAM Negeri Sembilan
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Semua lima pusat pemindahan banjir terakhir di Tampin, dekat sini ditutup 2 petang tadi apabila banjir pulih.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Sembilan Leftenan Kolenal Kamal Mokhtar berkata, baki 615 penduduk terakhir diarahkan pulang ke kediaman sejurus air mulai surut.

Katanya, sepanjang tiga hari banjir berlaku, negeri ini mencatatkan seramai 705 mangsa.

Katanya, 10 pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan penduduk sementara menunggu banjir pulih.

"Di Tampin, pusat pemindahan itu adalah Balairaya Parit Buloh, SK Sungai Kelamah, Balai Raya Sungai Kelamah, Masjid Sungai Dua, Balai Raya Kampung Ladang, Surau Keru Hilir, SK Kampung Ladang dan SMK Dato Mohd Taha," katanya.

Menurutnya, di Rembau, pusat pemindahan adalah Balai Raya Lubok China dan Surau Kampung Nerambai.

"Keadaan kini sudah kembali tenang dan semua mangsa diberi bantuan sewajarnya oleh JPAM, bomba, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pemimpin setempat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 3:52 PM