Sulaiman Md Ali (songkok putih)  menyampaikan sumbangan mangsa banjir di Bukit Tambun. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Sulaiman Md Ali (songkok putih) menyampaikan sumbangan mangsa banjir di Bukit Tambun. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Mohd Amin Jalil dan Nazri Abu Bakar


Seremban: Banjir yang melanda di tujuh daerah di Negeri Sembilan kini pulih sepenuhnya

selepas semua 44 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ditutup tadi.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata keseluruhan jumlah kumulatif mangsa banjir di negeri ini yang dipindahkan ke PPS membabitkan seramai 3,627 orang daripada 957 keluarga.

"Alhamdulillah, banjir di Negeri Sembilan sudah pulih sepenuhnya dan semua 44 PPS yang dibuka di tujuh daerah iaitu Jempol, Jelebu, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau, Seremban dan Tampin, sejak 18 Disember lalu sudah ditutup.

"PPS terakhir yang ditutup ialah Dewan Orang Ramai Kampung Puom, Jelebu. PPS yang mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai adalah di PPS Sekolah Kebangsana FELDA Sungai Kelamah, Tampin yang merekodkan seramai 872 orang daripada 232 keluarga," katanya di sini.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan banjir sebanyak RM1,000 kepada 4,149 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas.

Sementara itu di Melaka, hanya tiga pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di membabitkan 341 mangsa banjir dengan kesemuanya di daerah Jasin.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, kawasan yang masih terjejas pula hanya membabitkan empat kawasan iaitu di Kampung Parit Penghulu Benteng, Kampung Lanchang, Kampung Tersusun Rambai Jaya dan Kampung Parit Putat Benteng di daerah Jasin.

Katanya, PPS membabitkan daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah sudah ditutup sepenuhnya sekali gus hanya membabitkan kawasan terjejas banjir di Jasin iaitu di Kampung Parit Penghulu Benteng, Kampung Lanchang, Kampung Tersusun Rambai Jaya dan Kampung Parit Putat Benteng.

PPS pula membabitkan SK Parit Penghulu (55 mangsa), SK Seri Mendapat (45) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai seramai 241 mangsa dengan keseluruhan 341 mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 6:18 PM