AMINUDDIN pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Borang 5A kepada penduduk Kampung Chuah. FOTO Mohd Khidir Zakaria
AMINUDDIN pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Borang 5A kepada penduduk Kampung Chuah. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan akan menyiasat dakwaan penduduk di Taman Pinggiran Sungai Kelamah, Gemas berhubung siren amaran yang tidak berfungsi dalam kejadian banjir di kawasan itu, Sabtu lalu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau tidak menafikan bahawa keadaan hujan pada Sabtu lalu agak lebat sehingga amaran siren tidak dapat didengari sama seperti di Ampangan, Seremban.

"Ketika hari pertama kejadian saya berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kelamah sehingga jam 2 pagi dan melihat sendiri keadaannya.

"Bagaimanapun, kita akan teliti perkara itu (siren tidak berbunyi) dan minta JPS menyiasat serta menambah keperluan meningkatkan bunyi siren yang dipasang di beberapa daerah di negeri ini," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Borang 5A kepada lapan penduduk Kampung Chuah di sini, hari ini.

Katanya, pada tahun ini kerajaan negeri juga merancang menambah siren terutama di kawasan berisiko banjir sebagai panduan penduduk sekitar.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat JPS, sebanyak 22 stesen siren amaran banjir sudah dipasang agar dapat memberi amaran awal kepada penduduk setempat sebagai persediaan menyelamatkan diri dan harta benda.

Sebelum ini, media melaporkan penduduk melahirkan rasa kecewa apabila siren amaran di Taman Pinggiran Sungai Kelamah gagal berfungsi sehingga menyebabkan mereka terpaksa berpindah sehelai sepinggang.

Aminuddin berkata, sehingga jam 8 pagi hari ini, seramai 2,037 mangsa banjir daripada 552 keluarga direkodkan membabitkan empat daerah iaitu Tampin, Kuala Pilah, Jempol dan Jelebu.

"Daripada jumlah ini, daerah Tampin merekodkan jumlah yang tertinggi iaitu 1,400 mangsa dengan 396 keluarga," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, laluan ke Stesen Pemancar Gunung Telapak Buruk, Jelebu, masih belum boleh dilalui untuk semua kenderaan susulan tanah runtuh dan kerja baik pulih sedang giat dilakukan secara berperingkat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 1:09 PM