Wanita China yang memasuki Korea Selatan untuk menjalani prosedur pembedahan muka sering menghadapi masalah melepasi pemeriksaan ke­selamatan untuk pulang ke negara asal mereka.

Pembedahan mengurangkan kulit berlebihan di atas kelopak mata untuk menjadikan mata besar dan memiliki rupa ala 'Barat' mengubah keseluruhan muka wanita China hingga menyebabkan mereka tidak lagi dikenali.

Bagi mengatasi masalah itu, hospital yang menjalankan prosedur turut mengeluarkan 'sijil pembedahan plastik' sebagai tanda pengesahan perubahan yang dilakukan-maklumat terdiri daripada nombor pasport, nama hospital yang menjalankan prosedur dan tempoh mereka berada di Korea Selatan bagi membolehkan mereka memasuki semula China.

Akbar China Daily melaporkan beberapa wanita yang memiliki mata lebih besar, hidung mancung, dan dagu panjang ditahan di pusat pemeriksaan kerana wajah mereka berbeza dengan gambar pada pasport.

Selepas pemeriksaan teliti dijalankan, barulah wanita itu dibenarkan memasuki China semula tetapi diingatkan segera memperbaharui pasport mereka.

Pembedahan plastik di Korea Selatan menjadi perniagaan yang kian mendapat tempat di hati wanita China. Kepulangan mereka ke China diibaratkan sebagai 'iklan secara langsung' untuk pakar bedah dari negara itu.

Gambar 'sebelum' dan 'selepas' wanita yang melalui perubahan mengagumkan itu mula menarik ramai perhatian selepas disiarkan menerusi beberapa laman sesawang di China.

Jenis prosedur yang dijalani setiap wanita disenaraikan dalam gambar-terdiri daripada botox,'rinoplasti' (mening­gikan hidung) atau memanjangkan dagu.

Menurut perangkaan dikeluarkan tahun lalu oleh Persatuan Antarabangsa Estetik Pakar Bedah Plastik, Korea Selatan mempunyai jumlah paling ramai melakukan pembedahan plastik berbanding negara lain.

Dianggarkan seorang daripada 77 orang di Korea Selatan menjalani pembedahan untuk memiliki wajah lebih cantik dan muda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:01 AM