GAMBAR  fail menunjukkan kapal pengawal pantai China (atas) hanya beberapa meter dari kapal Tentera Laut Vietnam di Laut China Selatan.
GAMBAR fail menunjukkan kapal pengawal pantai China (atas) hanya beberapa meter dari kapal Tentera Laut Vietnam di Laut China Selatan.
AP

Sydney: Panglima Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) semalam menyuarakan kebimbangan keadaan di Laut China Selatan digambarkan sebagai pertempuran antara AS dan China.

Namun, Laksamana Madya Tentera Laut AS, Joseph Aucoin menegaskan kehadiran sistem peluru berpandu Beijing di pulau yang dipertikaikan tidak menghalang pihaknya terbang di ruang udara di situ.

Kenyataan Aucoin itu dibuat seminggu selepas Beijing meletakkan peluru berpandu permukaan ke udara di sebuah pulau di kawasan yang menjadi pertikaian itu.

Menurut AS, kehadiran peluru berpandu itu membuktikan peningkatan ketenteraan di kawasan itu oleh China.

China sebaliknya menuduh AS mempersiapkan rantau ini dengan tentera dan mendakwa rondaan kapal serta pesawat Tentera Laut AS menimbulkan ketegangan dan kebimbangan mengenai kestabilan di kawasan terbabit.

Bulan lalu, kapal perang AS sengaja berlayar berhampiran salah satu daripada pulau yang dikawal Beijing di rantaian Paracel.

Namun, Aucoin berkata, AS tidak membuat gerakan seperti itu untuk menyasarkan mana-mana negara dan berharap sesiapa yang menambak kawasan itu supaya berhenti.

“Saya kurang senang ia digambarkan sebagai AS menentang China.

“Ia tidak sepatutnya diterima sebagai provokatif. Apa yang cuba kami pastikan adalah semua negara, tidak kira saiz atau kekuatan boleh meneruskan kepentingan mereka berdasarkan undang-undang laut dan tidak perlu merasa terancam oleh tindakan ini,” katanya kepada wartawan di Sydney ketika dalam lawatan dengan pegawai pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 10:10 AM