MUHAMMAD Hazim (kiri) dijemput beraksi di Stadium Tinju Lumpinee dalam saingan professional Muay Thai. FOTO Bernama
MUHAMMAD Hazim (kiri) dijemput beraksi di Stadium Tinju Lumpinee dalam saingan professional Muay Thai. FOTO Bernama
BERNAMA

BUKAN mudah untuk atlet Muay Thai dapat beraksi di Stadium Tinju Lumpinee di Bangkok yang dianggap gelanggang keramat kepada pesilat sedunia bagi sukan mempertahankan diri itu.

Namun bagi anak kelahiran Terengganu, Muhammad Hazim Basyir, 17, beliau mencipta sejarah tersendiri kerana dapat beraksi di gelanggang itu Sabtu lalu.

“Saya sememangnya memasang impian untuk beraksi di Stadium Tinju Lumpinee dan apa yang berlaku Sabtu malam itu membuatkan saya mahu berusaha lebih keras lagi untuk mengasah bakat saya,” katanya.

Perlawanan bagi kategori 54 kg dua itu menemukan Muhammad Hazim yang bernaung dengan syarikat promoter Malaysia, Hallo Fight Lab dengan peserta tuan rumah, Peng-a-ram ‘Noung’ dalam kejohanan yang dinamakan ‘Lumpinee Muay Thai TKO.’

Walaupun tewas, beliau yang juga orang kurang upaya (masalah pembelajaran) berjaya memberikan saingan sengit kepada Noung yang tampil dengan rekod lebih 100 kali penampilan berbanding tujuh bagi Muhammad Hazim.

Berikutan saingan sengit dan keputusan tipis yang terhasil, pihak penganjur pertandingan bercadang untuk menganjurkan perlawanan semula atau ‘rematch’ antara kedua-dua atlet berkenaan dalam masa terdekat.

Pemilik Hallo Fight Lab, Mohd Hazrul Mohd Sapri berkata, kejayaan Muhammad Hazim beraksi di Stadium Tinju Lumpinee membuktikan kemampuan atlet Muay Thaj negara untuk bersaing secara professional dalam sukan kompetitif itu.

“Bukan mudah untuk dijemput beraksi di Stadium Tinju Lumpinee kerana atlet yang bertanding di stadium bersejarah Muay Thai itu perlu mencapai tahap tertentu yang ditetapkan oleh pihak promoter,” katanya.

Peminat sukan Muay Thai di negara kelahiran sukan itu merasa kagum dan pada masa yang sama sedikit tercabar apabila atlet Muay Thai Malaysia bukan sahaja mampu memberikan saingan sengit kepada jaguh mereka tetapi hampir mengalahkannya, kata Mohd Hazrul.

Saingan antara atlet kedua-dua negara itu turut mengujakan penonton tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 6:17 PM