KAWASAN siar kaki di TTS yang dihiasi pepohon hijau.
KAWASAN siar kaki di TTS yang dihiasi pepohon hijau.
Teks dan gambar Mohd Amin Jalil


Pembinaan bangunan tinggi di kawasan perbandaran tak lengkap andai tidak memiliki kawasan riadah yang hijau dan menyegarkan.

Taman Tasik Seremban (TTS) antara pusat rekreasi dan riadah paling popular di Negeri Sembilan yang berjaya menarik perhatian pengunjung, bukan saja dalam kalangan penduduk tempatan, malah pelancong asing.

Status TTS sebagai taman tasik semula jadi tertua di negara ini menjadikannya lebih unik dan menarik.

Beberapa proses pembangunan dan menaik taraf yang dilakukan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) menjadikan TTS lokasi tumpuan dan selamat untuk pengunjung.

Dihiasi dengan tanaman pokok tropika, bunga-bungaan dan wakaf istirahat serta dua tasik menjadikannya kawasan yang tenang dan sesuai untuk bersantai.

Tidak hairanlah TTS tidak pernah sunyi daripada kunjungan untuk menikmati keindahan flora dan fauna.

Kawasan taman berkeluasan kira-kira 24 hektar itu dipenuhi pepohon menghijau dan landskap yang mempunyai reka bentuk tersendiri, sekali gus menjadikannya berbeza dengan taman lain di negara ini.

Malah, binaan lampu taman yang berkonsepkan Andalusia yang diterapkan dalam mencipta landskap pada sebahagian taman berkenaan begitu unik bagaikan berada di luar negara.

Yang Dipertua MPS Datuk Abd Halim Abd Latif berkata, TTS sentiasa diperindahkan dengan pelbagai landskap supaya mampu menjadi lokasi tumpuan untuk aktiviti beriadah dan santai bersama keluarga.

Katanya, keindahan di taman itu berjaya menarik ramai pengunjung.

“Taman ini bukan sahaja dikunjungi penduduk dari negeri ini, malah pelancong dari dalam dan luar negara.

“Menerusi kemudahan disediakan ini diharap ia membolehkan warga Seremban mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Menurutnya, usaha mengindahkan taman tasik itu bertujuan mengeksploitasi potensi beriadah di situ.

“Sejak sekian lama, orang ramai termasuk pengunjung mengetahui TTS sesuai dikunjungi untuk melakukan pelbagai kegiatan beriadah.

“Jadi MPS mengeksploitasi kelebihan taman tasik sedia ada untuk memperluas potensinya sebagai destinasi yang mesti dikunjungi,” katanya.

Sementara itu, kewujudan Galeri Diraja Tuanku Ja’afar (GDTJ) yang terletak di tengah kawasan TTS, menjadikan daya tarikan baru kawasan berkenaan.

Gaya pelestarian tumbuhan hijau yang dikelilingi tasik menjadikan persekitaran galeri itu bertepatan dengan amalan baik dalam melegasikan khazanah alam hijau sekali gus menjadikan suasana yang segar dan permai.

Kurator GDTJ Nor Hazwani Hembali berkata, galeri setinggi empat tingkat itu diilhamkan ahli keluarga kerabat Almarhum Tuanku Ja’afar dengan kerjasama kerajaan negeri, Jabatan Muzium Malaysia dan Lembaga Muzium Negeri Sembilan bertujuan memperingati baginda yang memerintah negeri Adat Perpatih itu selama 40 tahun.

“Ia menempatkan ribuan koleksi Tuanku Ja’afar sepanjang baginda menjadi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Ke-10 selama lebih 40 tahun (1967-2008) serta pengalaman baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-10 pada 26 April 1994 hingga 25 April 1999,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 5:01 AM