PEMANDANGAN Hill Park S2 Height Seremban 2 yang unik.
PEMANDANGAN Hill Park S2 Height Seremban 2 yang unik.

Kewujudan taman rekreasi dan seni reka alam sekitar terutama di kawasan perumahan baru bukan saja menyerlahkan kemahiran pereka bentuk memperlihatkan rekaan masing-masing, malah berperanan membangkitkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap seni bina landskap..

Hasil seni bina landskap bukan sahaja menjadi pelengkap dalam sesuatu kawasan perumahan, tetapi turut menjadi tarikan antara keseimbangan alam sekitar dengan manusia sendiri.

Justeru, tidak hairanlah pembinaan landskap dan taman sangat penting dalam memenuhi keperluan manusia kerana ia turut berfungsi sebagai terapi bagi menghilangkan tekanan selepas sibuk dengan urusan harian.

Taman rekreasi Hill Park S2 Height di Seremban 2 Negeri Sembilan yang dilaksanakan IJM Land Berhad (IJM Land) membutikan keperihatinan pemaju berkenaan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat bagi melengkapkan keperluan penduduk penempatan moden itu.

Ia bukan sahaja mewujudkan kawasan rekreasi dengan membina landskap menarik melalui penanaman pokok hijau, binaan objek hiasan dan pelbagai kemudahan lain, malah menyerlahkan keindahan serta keselesaan.

Hasilnya, Hill Park S2 Height menjadi tarikan utama penduduk setempat serta pengunjung luar kerana keunikannya terutama replika dinosaur yang menjadikannya suasana di situ berbeza dengan tempat lain.

Dibina di kawasan seluas kira-kira 10 hektar pada 2013, taman rekreasi itu terletak di kawasan berbukit dengan ketinggian 162 meter dari aras laut.

Penolong Pengurus Jualan dan Pemasaran IJM Land J Y Ong berkata, taman itu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk kawasan riadah yang menyediakan peralatan pemainan kanak-kanak, trek jogging serta lokasi pengembaraan.

Katanya, Hill Park terbahagi kepada tiga zon dengan setiap satunya di bahagikan mengikut ketinggian.

“Di zon 1, ada banyak tempat permainan untuk anak kecil yang dikelilingi pelbagai pokok menghijau sekali gus menampakkan kesegarannya.

“Pengunjung juga berpeluang menimba ilmu alam kerana ada penanda yang memaparkan jenis pokok dan asalnya,” katanya.

Menurutnya, pengunjung tidak perlu menghabiskan duit ke Jurassic Park kerana di zon 2 ada lebih 10 replika dinosaur pelbagai saiz untuk pengunjung merakam kenangan bersama haiwan prasejarah itu.

Ong berkata, pihaknya juga menyediakan lokasi ‘flying fox’ bagi mereka yang inginkan cabaran dan aktiviti lasak di zon 3 sambil menikmati keindahan flora dan fauna kerana kawasan itu dikelilingi pepohon hijau.

“Malah, pengunjung juga boleh merasai suasana pengembaraan dalam hutan kerana disediakan laluan trek di puncak bukit berkenaan dan pada masa sama dapat menikmati pemandangan bandar Seremban dari puncak bukit itu.

“Bagi golongan muda yang ingin mengasah bakat dalam aktiviti memanjat tembok, mereka boleh juga mencuba kemudahan Climbing Cube,” katanya.

Katanya, keindahan landskap menjadikan lokasi itu kawasan tumpuan untuk aktiviti beriadah dan santai khususnya bersama keluarga.

Tidak hairanlah taman rekreasi itu sentiasa tidak lekang dengan pengunjungnya tanpa mengira hari sama ada pagi, petang mahupun malam.

“Berdasarkan maklum balas dan pemantauan, taman berkenaan bukan sahaja dikunjungi penduduk negeri ini, malah menjadi lokasi tumpuan pelancong luar.

“Menerusi kemudahan ini diharapkan ia membolehkan warga Seremban 2 mengamalkan gaya hidup sihat kerana kami juga menetapkan taman itu sebagai zon larangan merokok,” katanya. - Mohd Amin Jalil

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2016 @ 12:39 PM