HUTAN Lipur Lata Kekabu terletak dalam kawasan Hutan Simpan Bintang Hijau.
HUTAN Lipur Lata Kekabu terletak dalam kawasan Hutan Simpan Bintang Hijau.
PEMANDANGAN indah di Kuak Hill Resort.
PEMANDANGAN indah di Kuak Hill Resort.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


DAERAH Lenggong, Perak bukan sahaja terkenal dengan tinggalan sejarah lampau, malah kaya dengan flora dan fauna.

Terdapat banyak tempat menarik untuk dikunjungi dan kebanyakannya berlatarkan pemandangan gunung-ganang yang indah.

Ia menjadikan Lenggong antara destinasi percutian alam semula jadi yang popular di negara ini.

Antaranya, kawasan sekitar Tasik Raban yang menjadi tumpuan penduduk tempatan dan luar sejak beberapa tahun lalu.

Bagi pencinta alam semula jadi, anda pasti teruja melihat tumbuh-tumbuhan flora dan haiwan yang terdapat di kawasan alam yang segar nan indah ini.

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini antaranya bersiar-siar, melihat keindahan alam semula jadi, melakukan aktiviti sukan air, memancing dan berkelah.

Selain Kuak Hill Resort yang terletak di Kampung Lata Papan, pekan lama Kuak juga antara destinasi menarik yang boleh dikunjungi.

Resort penginapan yang baharu dibuka akhir tahun lalu itu menyajikan panorama indah kawasan pergunungan Banjaran Titiwangsa.

Ia terletak hanya 30 minit pemanduan dari Bandar Diraja Kuala Kangsar dan kira-kira dua jam sahaja dari Kuala Lumpur atau Pulau Pinang.

PEKAN Lenggong.
PEKAN Lenggong.

Terdapat pelbagai jenis penginapan disediakan bergantung kepada pilihan pengunjung sama ada mahu berkhemah, inap desa atau bilik yang cantik.

Lebih menarik, kedudukan setiap bilik juga dibina dengan membolehkan pengunjung menikmati pemandangan menakjubkan dari atas bukit.

Meskipun terletak di kawasan tinggi, namun ia dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk kolam renang.

Bagi mereka yang datang dalam berkumpulan pula, anda boleh melakukan aktiviti seperti barbeku atau bersantai sambil menikmati angin malam.

ANTARA artifak yang dipamerkan di Galeri Arkeologi Lenggong.
ANTARA artifak yang dipamerkan di Galeri Arkeologi Lenggong.

Selain itu, bagi yang sukakan cabaran, resort ini juga menyediakan aktiviti lasak seperti ATV dan 'trekking'.

Mini zoo yang menempatkan taman arnab dan kawasan burung juga disediakan untuk pengunjung.

Resort yang terletak 430 meter (m) dari aras Tasik Raban turut menempatkan seekor burung kakak tua dari Bolivia yang diberi nama Nickey.

Pada masa sama, jika mahu bersantai dengan bunyi deruan air terjun, Hutan Lipur Lata Kekabu adalah salah satu tempat menarik di Lenggong yang menjadi pilihan ramai.

Hutan Lipur Lata Kekabu terletak dalam kawasan Hutan Simpan Bintang Hijau dan memiliki air terjun setinggi 50m.

Kawasan hutan yang terletak sembilan kilometer dari pekan Lenggong itu sesuai dikunjungi seisi keluarga.

Kawasan hutan itu bukan sahaja menarik, malah dipenuhi pelbagai spesies pokok seperti keruing, kempas, jelutong dan meranti.

PEMANDANGAN kawasan Tasik Raban yang indah.
PEMANDANGAN kawasan Tasik Raban yang indah.

Pelbagai kemudahan turut disediakan antaranya dewan, surau, tandas dan bilik mandi.

Bagi yang sukakan sejarah pula, Lenggong memiliki sembilan tapak arkeologi penting zaman Paleolitik terbesar di Asia Tenggara dan ia dikatakan berusia lebih 200,000 tahun.

Untuk itu, Galeri Arkeologi Lenggong atau dikenali sebagai Galeri Arkeologi Kota Tampan terletak di sebuah kawasan bekas ladang kelapa sawit di Kampung Kota Tampan, Mukim Temelong wajar dikunjungi.

Lokasi pembangunan galeri itu dibina berdasarkan signifikan tapak arkeologi zaman Paleolitik yang wujud 74,000 tahun dahulu.

GALERI Arkeologi Lenggong.
GALERI Arkeologi Lenggong.

Antara koleksi menarik yang dipamerkan ialah alat batu zaman Paleolitik, rangka Perak Man yang berusia 10,000 hingga 11,000 tahun ditemui di Gua Gunung Runtuh serta peralatan yang digunakan untuk penyelidikan arkeologi.

Selain itu, koleksi barangan masyarakat Orang Asli dan perkaitannya dengan kehidupan manusia prasejarah, lukisan serta alat pengebumian masyarakat Neolitik Gangsa Gua Harimau seperti tembikar, alat batu, perhiasan diri, acuan dan kapak gangsa juga dipamerkan.

Pendek kata, semua ada di Lenggong. Apabila sekatan perjalanan rentas negeri ditarik balik kelak, jom beramai-ramai berkunjung ke Lenggong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 7:00 AM