IBU bapa mengambil kesempatan pada cuti sekolah membawa anak mereka melakukan aktiviti riadah di Taman Tasik Seksyen 14 Shah Alam.
IBU bapa mengambil kesempatan pada cuti sekolah membawa anak mereka melakukan aktiviti riadah di Taman Tasik Seksyen 14 Shah Alam.
Syazwan Msar


Shah Alam: Sebut saja Taman Tasik Shah Alam yang terletak di Seksyen 14, di sini, pasti warga bandar raya ini cukup mengenali lokasi berkenaan sebagai antara tempat bersesuaian untuk bersantai dan beriadah ketika cuti hujung minggu.

Persekitaran yang mengekalkan keindahan flora dan fauna menjadi antara penarik kepada pengunjung untuk terus memilih lokasi berkenaan melakukan aktiviti bersama keluarga atau rakan.

Turut menjadi tarikan kemudahan rekreasi seperti perkhidmatan bot yang disediakan bagi membolehkan pengunjung menikmati keindahan di sekitar tasik berkenaan, selain aktiviti berkayak, menaiki sampan dan bot itik.

Bagi yang membawa keluarga, usah bimbang kerana bayaran untuk menyewa peralatan berkenaan amat berpatutan iaitu antara RM5 hingga RM40 malah terdapat juga taman permainan kanak-kanak di kawasan itu.

Seorang pengunjung, Megat Shah Amerul Mohamed, 30, berkata, tasik berkenaan terletak di lokasi strategik di tengah-tengah bandar raya.

Katanya, ini menjadi faktor utama tasik berkenaan menjadi pilihan kepadanya untuk menjalankan aktiviti riadah malah terletak berhampiran dengan rumahnya.

“Walaupun terletak di tengah-tengah bandar raya, persekitarannya sentiasa bersih dan indah selain turut mempunyai kemudahan tempat letak kereta mencukupi,” katanya.

Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Humaira Abd Rashid, 22, berkata, taman berkenaan menjadi pilihan untuk bersantai bersama rakan lain sambil menyiapkan kerja kursus yang diberikan oleh pensyarah.

Katanya, selain tempat letak kereta yang mencukupi, kemudahan lain seperti tandas awam turut disediakan kepada pengunjung.

“Kemudahan trek basikal dan joging adalah salah satu faktor utama tasik berkenaan terus dikunjungi ramai.

“Kemudahan yang disediakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu memberi lebih banyak pilihan kepada pengunjung seusia kami yang mahu melakukan aktiviti lebih santai,” kata penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2017 @ 7:35 AM