WAKIL Seniman ketika menyampaikan bantuan kepada Amran, baru-baru ini. FOTO ihsan Seniman
WAKIL Seniman ketika menyampaikan bantuan kepada Amran, baru-baru ini. FOTO ihsan Seniman
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Rozaidi Abdul Jamil kesal dengan dakwaan pelakon dan pelawak Amran Aman Ramli, 65, atau Amran Tompel yang kini terlantar akibat strok tidak mendapat perhatian persatuan itu.

Rozaidi berkata, Seniman sudah memberikan bantuan sewajarnya kepada Amran ketika dia dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban sebelum ini.

“Bukan itu saja, kami turut membantu mendapatkan Bantuan Penggiat Seni daripada Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN) sebanyak RM10,000,” katanya.

Amran dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar semalam mendakwa terkilan kerana nasibnya tidak mendapat perhatian mana-mana persatuan artis kecuali Presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave yang datang menziarahinya.

Rozaidi berkata, dalam isu ini keluarga juga perlu memainkan peranan dan bukan bergantung kepada persatuan semata-semata untuk mendapatkan sumbangan.

“Persatuan pun tidak cukup dana dan perlu menjaga kepentingan ramai lagi ahli yang sakit. Kami tidak dapat membantu sepenuhnya kerana dana yang ada sangat terhad,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2016 @ 7:16 PM