IXORA javanica antara jenis bunga Ixora atau lebih dikenali sebagai bunga jejarum yang sesuai ditanam ketika musim panas.
IXORA javanica antara jenis bunga Ixora atau lebih dikenali sebagai bunga jejarum yang sesuai ditanam ketika musim panas.
EVERTHAMIA antara pokok bunga yang sesuai untuk landskap musim panas.
EVERTHAMIA antara pokok bunga yang sesuai untuk landskap musim panas.
TANAMAN bunga musim panas memerlukan air siraman dua kali sehari dan cahaya matahari secukupnya.
TANAMAN bunga musim panas memerlukan air siraman dua kali sehari dan cahaya matahari secukupnya.
BOUGAINVILLEA jenis lilit turut menjadi pilihan kerana ia kacukan beberapa jenis bunga kertas.
BOUGAINVILLEA jenis lilit turut menjadi pilihan kerana ia kacukan beberapa jenis bunga kertas.
TACOMA stans antara bunga yang sesuai untuk landskap musim panas.
TACOMA stans antara bunga yang sesuai untuk landskap musim panas.
NERIUM oleander antara bunga lebih optimum mengeluarkan bunga dan berkembang dengan cuaca panas.
NERIUM oleander antara bunga lebih optimum mengeluarkan bunga dan berkembang dengan cuaca panas.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Cuaca panas sekarang disebabkan negara ini terletak berdekatan garisan khatulistiwa. Ini ditambah dengan fenomena El-Nino yang meninggalkan kesan luar biasa terutama di negeri utara Semenanjung Malaysia.

Fenomena itu turut mengurangkan jumlah hujan hingga 60 peratus daripada biasa, sekali gus menyebabkan suhu purata meningkat sehingga dua darjah Celsius.

Situasi itu sedikit sebanyak memberi impak dari segi penjagaan tanaman dan landskap kerana suhu serta kandungan air mempengaruhi sesetengah tanaman terutama pokok bunga dan hiasan.

Pengurus Nilai Garden Sdn Bhd (Nilai Garden) Kaniendaran Shanmugam berkata, pokok seperti bunga kertas atau bourgainvillea paling sesuai ditanam pada musim panas.

“Pokok bunga kertas antara paling sesuai ditanam ketika musim panas kerana sinaran matahari menyebabkan bunganya berkembang dan lebih banyak bunga baru keluar,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pokok bunga kertas paling mudah terjejas pada musim hujan jika kandungan air pokok itu berlebihan.

“Bunga kertas boleh kehilangan hingga 50 peratus bunga daripada biasa jika air berlebihan kerana boleh menjadikan pokok itu lembap dan berat seterusnya menyebabkan bunga gugur,” katanya.

Kaniendaran berkata, semua jenis pokok bunga kertas sesuai ditanam ketika cuaca panas dan antara yang sering mendapat permintaan ialah Bourgainvillea Mrs Eva.

Bagaimanapun, jika ingin memberi kelainan dan variasi bunga kertas untuk landskap taman, Bourgainvillea jenis bonsai dan lilit iaitu hasil kacukan beberapa jenis bunga turut sesuai ditanam.

Selain bunga kertas, bunga jejarum atau Ixora juga antara yang sesuai ditanam ketika cuaca panas kerana ia antara pokok tahan lasak.

Antara bunga jejarum yang menarik perhatian ramai ialah Ixora Javanica Red yang lebih besar dan kembang dengan warna merah terang berbanding jenis lain.

Menurut Kaniendaran, pokok bunga yang sesuai ditanam ketika cuaca panas tidak sukar dijaga kerana ia hanya perlu diletakkan di luar rumah bagi membolehkannya mendapatkan sinaran matahari.

“Pokok bunga yang tahan cuaca panas boleh diletak di luar rumah dan hanya perlu disiram dua kali sehari iaitu pada pagi dan petang. Siram sekitar jam 8 pagi hingga 10 pagi dan 4 hingga 6 petang.

“Paling penting, pokok ini perlu dipastikan mendapat air dan baja secukupnya selain menerima cahaya matahari bagi memastikannya menghasilkan bunga yang optimum serta tidak gugur,” katanya.

Mengenai cuaca tidak menentu terutama pada sebelah petang di sekitar Lembah Klang, Kaniendaran berkata, ia tidak menjadi masalah kerana pokok yang tahan cuaca panas tahan lasak serta tidak mudah layu atau mati.

“Pokok seperti ini tahan lasak tapi pastikan air mencukupi. Jika hujan di sebelah petang, anda tidak perlu siram lagi, cukup hanya sekali sehari.

“Jika hujan pada malam atau awal pagi, tidak perlu siram pada waktu pagi, kecuali pada petang saja.

“Penjagaan baja juga penting. Pokok diberi baja dua minggu sekali bagi jenis organik dan tiga minggu sekali untuk baja kimia,” katanya.

Selain bunga kertas dan jejarum, antara bunga lain yang sesuai ketika cuaca panas ialah bunga mentega (nerium oleander), bunga jarak pagar (jatropha integerrima), bunga cina atau bunga susun kelapa (everthamia) dan bunga loceng (tecoma stans).

Bagi yang gemar menanam pokok lebih besar, tahan panas serta berbunga sepanjang tahun, Kaniendaran mencadangkan pokok callistemon citrinus atau lebih dikenali sebagai ‘bottle brush’ dan ‘powderpuff’ atau nama saintifiknya calliandra tergemina.

“Ia berbunga sepanjang tahun dan boleh membesar menjadi pokok yang redup.

“Selain itu, ia sesuai dijadikan tempat berteduh. Paling penting keperluan tanaman ini mencukupi,” katanya.

Nilai Garden terletak di Jalan Indah 3, Taman Desa Indah, Nilai. Dibuka setiap hari kecuali Isnin dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2016 @ 5:01 AM