BUNGA seri pagi antara tanaman hiasan unik.
BUNGA seri pagi antara tanaman hiasan unik.
BUNGA seri pagi mula dikenali ramai di China kerana khasiat perubatan biji benihnya.
BUNGA seri pagi mula dikenali ramai di China kerana khasiat perubatan biji benihnya.
BUNGANYA kembang pukul empat menghasilkan buah berbentuk bulat dan kecil.
BUNGANYA kembang pukul empat menghasilkan buah berbentuk bulat dan kecil.
POKOK bunga kembang pukul empat ini dikatakan berasal dari Amerika Selatan.
POKOK bunga kembang pukul empat ini dikatakan berasal dari Amerika Selatan.
BUNGA Turnera sabulata atau bunga lidah kucing ini sejenis bunga tempatan yang mudah ditanam.
BUNGA Turnera sabulata atau bunga lidah kucing ini sejenis bunga tempatan yang mudah ditanam.
BUNGA ros Jepun  ini akan kembang penuh pada sebelah pagi dan menguncup selepas jam 10 pagi.
BUNGA ros Jepun ini akan kembang penuh pada sebelah pagi dan menguncup selepas jam 10 pagi.
Hartini Mohd Nawi


BUNGA menjadi elemen penyeri paling sempurna untuk landskap taman dan ruang dalaman.

Idea dan konsep penataan ringkas sekali pun boleh tampil menarik dan unik jika susun letak bunga diketengahkan.

Jika bunga-bungaan berkembang mekar, anda tentunya bagai berada di taman berlatarkan hamparan bunga indah.

Berikut diperincikan beberapa jenis bunga berkembang mekar pada waktu tertentu sebelah pagi dan petang.

Bunga Seri Pagi

Turut dikenali sebagai morning glory iaitu nama yang diberi kepada 1,000 spesies tumbuhan berbunga dari keluarga Convolvulaceae.

Antara spesies berkenaan ialah Calystegia, Convolvulus, Ipomoea, Merremia, Rivea, Astripomoea, Operculina, Stictocardia, Argyreia dan Lepistemon.

Kebanyakan bunga seri pagi kembang sepenuhnya pada sebelah pagi dan memerlukan cahaya matahari sepanjang hari.

Namun ada juga bunga jenis ini iaitu Ipomoea muricata, kembang pada sebelah malam.

Bunga seri pagi mula dikenali ramai di China kerana khasiat perubatan biji benihnya yang dikatakan membantu merawat sembelit.

Selepas dibawa ke negara Jepun, barulah bunga ini ditanam sebagai tanaman hiasan.

Di sana jugalah mulanya bunga ini dikembang biak dan dikacuk menjadi pelbagai variasi seperti Dajuro, Brocade of the Dawn dan Moon in the Dusk yang terkenal di kalangan pencinta bunga berkenaan.

Bunga Pukul Lapan

Bunga Turnera sabulata atau bunga lidah kucing ini sejenis bunga tempatan yang mudah ditanam selain turut dipanggil dengan nama Tunera ulmifolia elegants, White alders dan Turnera.

Ia adalah tumbuhan jenis renek dari keluarga Turneraceae.

Dikatakan bunga ini turut dikenali sebagai bunga pukul lapan kerana bunganya berkembang pada pukul lapan pagi setiap hari dan menguncup pada tengahhari.

Malah ia kemudian layu pada sebelah petang dan malam atau bunga yang tua ia akan gugur. Esoknya ia akan kembang semula pada waktu yang sama.

Selain itu, ia diberikan nama bunga lidah kucing kerana mungkin kelopaknya seakan berbentuk seperti lidah kucing.

Bunga Pukul Sepuluh

Pokok ros Jepun atau nama saintifiknya Portulaca grandiflora semakin popular dalam kalangan peminatnya

Uniknya bunga ini akan kembang penuh pada sebelah pagi dan menguncup selepas jam 10 pagi.

Tanaman ini mudah dibiakkan dengan kaedah keratan batang namun perlu dilakukan dengan cara yang betul supaya ia berbunga meriah dan merimbun.

Penyeri landskap taman yang tahan panas ini sangat sesuai untuk ditanam dan akan tumbuh subur dalam keadaan cuaca di Malaysia.

Ia dikatakan berasal dari negara Amerika Selatan seperti Brazil, Argentina dan Uruguay.

Begitu mudah untuk dikenali dengan sifat fizikalnya yang berwarna-warni dan cara tumbuh yang menjalar.

Bunga Kembang Pukul Empat

Pokok bunga kembang pukul empat ini dikatakan berasal dari Amerika Selatan. Ditanam sebagai pokok hiasan dan herba.

Nama saintifiknya ialah Mirabilis Jalapa L. daripada famili Nyctaginaceae.

Pokok jenis renek ini berketinggian satu meter dan membiak melalui biji benih, keratan ranting dan ubi.

Bunga berbentuk trompet dan berwarna merah, oren, kuning, merah jambu, ungu, putih selain ada yang mempunyai jalur kombinasi warna.

Biasanya bunganya akan mekar atau kembang selepas jam 4 petang dan layu pada sebelah pagi keesokan hari. Bunga kembang pukul empat berbau wangi dan biasanya menghasilkan buah yang berbentuk bulat dan kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 6:20 AM