Oleh Siti Zarinah Sahib

Pertama kali bersua muka, selama ini hanya melihat wajahnya menerusi laman Instagram dan Facebook menggayakan busana Bella Ammara. Cantik orangnya dengan wajah putih mulus, bermata galak dan memiliki alis hitam lebat persis wanita Arab.

Secantik orangnya seindah budi bahasa, pemilik nama sebenar pengasas jenama busana Muslimah Bella Ammara, Sharifah Nabilla Al-Yahya Syed Shah memiliki darah campuran Arab sebelah nenek yang berasal dari sana.

Kekaguman bukan saja pada perwatakannya, tetapi keupayaannya membangunkan jenama Bella Ammara sehingga ia menjadi sebutan penggemar fesyen di Malaysia. Hanya beroperasi selama tiga tahun, pada usia 27 dia sudah memiliki empayar perniagaan sendiri dengan tujuh cawangan butik di seluruh negara. Satu pencapaian yang sangat membanggakan dan cukup memberikan inspirasi kepada sesiapa saja yang baru memulakan perniagaan.

Gadis manis yang senang disapa Belle ini mengakui, dia bekerja keras untuk berada seperti sekarang. Usaha bersungguh-sungguh dilakukan tanpa kenal erti putus asa menjadi rahsia kejayaannya. Kesusahan ditanggung sendiri bersama suami yang menjadi tulang belakang selama ini. Pernah kehabisan wang dan tidak mahu menyusahkan keluarga, dia dan suami hanya makan mi segera.

“Itu cerita lalu, biarkan ia berlalu,” katanya mesra sambil menyambung, sejak kecil dia tidak langsung terfikir mengusahakan perniagaan busana Muslimah. Dilahirkan bukan dalam keluarga yang menjalankan perniagaan, sudah tentu ciri-ciri itu tiada dalam dirinya.

Namun semuanya bermula pada 2012 sebaik saja menamatkan pengajian dalam bidang seni bina. Disebabkan ingin melangsungkan perkahwinan, dia bersama bakal suami ketika itu, Muhammad Khalif Samsudin atau dikenali sebagai Carl Samsudin mula mencari wang tambahan bagi membiayai perkahwinan mereka.

“Apa yang bermain di fikiran, kami perlu menggunakan duit kahwin sendiri tanpa mengharapkan bantuan ibu bapa. Untuk memulakan perniagaan memerlukan modal lalu Carl meminjam duit ibunya sebanyak RM1,000 untuk membeli sembilan pasang telekung berwarna.

“Ketika itu, saya mengelak untuk membuat pinjaman bank kerana berasakan ia menyebabkan saya lebih terbeban dengan faedah yang perlu dijelaskan,” katanya.

Dengan langsung tiada pengalaman berniaga, sembilan pasang telekung ini dijual menerusi pemasaran di Facebook. Tidak sangka telekung berwarna mendapat sambutan yang sangat menggalakkan sehingga terpaksa diambil dalam jumlah yang banyak bagi memenuhi permintaan ramai. Apabila melihat permintaan telekung yang semakin meningkat, niat hanya untuk mengumpul duit kahwin bertukar menjadi impian yang sangat besar iaitu membuka empayar perniagaan Muslimah.

Dari situ terhasillah jenama Bella Ammara dengan butik pertama di Setapak, Kuala Lumpur dan kemudian di Shah Alam dan terkini di Johor Bahru dan Kuantan. Dengan lambakan jenama busana Muslimah ketika itu, Belle berasa penting untuk menghasilkan keunikan tersendiri menerusi rekaan jubah bersekuin yang mendapat sambutan di luar dugaan.

“Tidak sangka jubah bersekuin menjadi pencetus rekaan jubah di pasaran. Kemudian kami mempelbagaikan rekaan dengan penghasilan jubah renda, ombre dan telekung yang menjadi nadi dalam penubuhan Bella Ammara,” katanya.

Bagi mengekalkan momentum dalam tarikan jubah Bella Ammara, apa yang dipentingkannya ialah jubah yang mengikut syariat Islam iaitu longgar dan tidak menampakkan susuk tubuh. Setiap rekaan hasil dari hati dan dia banyak menggabungkan pengalaman dalam bidang seni bina ke setiap rekaan jubah dan baju kurung bagi mencetuskan sesuatu yang baru dan segar. Hasilnya, gabungan idea ini menjadikan setiap rekaan kelihatan menyerlah dan anggun.

Tidak terkilan tinggalkan bidang seni bina

Berbual mengenai ijazah seni bina yang dimilikinya ini serta kerjaya arkitek yang bakal disandang sekiranya tidak menjadi usahawan, gadis kelahiran Kedah ini mengakui dia sedikit pun tidak terkilan kerana tidak memegang jawatan sebagai arkitek. Sebaliknya, dia berpendapat mengusahakan perniagaan pakaian Muslimah juga kerjaya seni membabitkan imaginasi dan kreativiti.

“Walaupun kini menumpukan perhatian 100 peratus dalam perniagaan, jiwa seni dan kreatifnya masih menebal.

“Dunia rekaan seakan-akan sudah sebati dalam diri saya. Jika dulu saya menghasilkan rekaan bangunan, namun sekarang cuba luahkan perasaan dan kecintaan pada pakaian,”katanya.

Malah, dia menunjukkan kebolehannya menghasilkan reka bentuk keseluruhan butik di Shah Alam dan Bangi Sentral bertemakan gaya Inggeris dan klasik Perancis.

Tidak hairan kedua-kedua butik ini yang terletak di Shah Alam dan Bangi kelihatan cukup gah dengan seni reka memukau berbanding butik yang terletak sederetan dengannya.

Mengakui suami menjadi tulang belakang utama sehingga ke hari ini, Belle bersyukur suami sangat komited untuk melihat perniagaan yang diusahakan bersama-sama berkembang maju. Walaupun dikatakan sangat cepat menuju puncak, Belle mengakui apa saja perniagaan cabarannya tetap ada. Rasa kecewa, putus asa dan tidak bersemangat pastinya datang silih berganti, namun semua itu diketepinya kerana jika ‘dilayan’ ia pasti merosakkan perasaan dan harapan untuk melihat perniagaan mereka berjaya.

“Kami datang tanpa apa-apa ilmu, namun Carl bijak mengemudi perniagaan menerusi ilmu yang dipelajarinya. Baginya hanya usaha, doa dan tawakal kepada Allah dapat membantu melancarkan perniagaan kami,” kata Belle.

Apa yang menyebabkan perniagaan mereka kekal sehingga ke hari ini dan menjadi antara jenama paling diminati wanita ialah kepercayaan yang kuat kepada kekuasaan Allah. Pengukuhan tenaga dalaman sangat penting kerana menerusinya segala cabaran dapat diatasi dengan mudah.

“Apa juga perniagaan, masalah tetap ada. Tapi setiap masalah kami hadapi dengan kembali kepada Allah, solat dan bersedekah kerana sedekah itu kunci penambah rezeki. Alhamdulillah daripada RM1,000 menggunakan duit ibu mentua, mengamalkan sikap jujur dan ikhlas, selalu bersedekah dan mengingati Allah satu-satunya pemberi rezeki, apa juga dilakukan menjadi mudah.

“Alhamdulillah dengan wang berniaga kami dapat membantu keluarga, menambah butik serta dapat menanam sifat ingin berniaga dalam kalangan rakan,” katanya yang mengangankan Bella Ammara ada di setiap negeri dan menjadi jenama pilihan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 5:18 AM