SARI Yanti merasmikan pembukaan butik di Bangi Gateway.
SARI Yanti merasmikan pembukaan butik di Bangi Gateway.
Intan Mas Ayu Shahimi


Mencari semua keperluan ibu dan bayi dalam satu tempat mungkin agak sukar terutama bagi mereka yang lebih sukakan pilihan produk tempatan seperti bantal kekabu, set bersalin tradisional, bengkung, tungku moden mahupun barut buat si kecil.

Tambahan kebanyakan butik keperluan sedia ada kini lebih cenderung menawarkan produk berjenama antarabangsa dengan harga yang berganda lebih mahal.

Butik barangan keperluan ibu dan anak, Mom’s House baru-baru ini merasmikan pembukaan cawangan terbarunya di kompleks perniagaan, Bangi Gateway, Bandar Baru Bangi.

Pengasas jenamanya, Hilmi Hamid berkata, butik baru itu diusahakan siswazah Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Zariq Zainudin, 27, bersama rakan kongsi, Muhammad Afifi Saidan.

Menghimpunkan pelbagai jenama produk khusus untuk ibu dan bayi, butik yang diusahakan bersama isteri, Noor Shazrah Mohammad, 34, itu menawarkan ribuan pilihan peralatan sokongan untuk kehamilan, kelahiran, tempoh penyusuan serta penjagaan selepas bersalin.

“Kami masih mengekalkan konsep serupa butik pertama di Seksyen 16, Shah Alam dengan mengembangkan segmen informasi produk untuk panduan setiap pelanggan. Malah kami percaya bahawa penting untuk sentiasa mengutamakan pengetahuan ibu bapa terlebih dulu sebelum memberi mereka ruang membuat pilihan.

“Di sini kaum ibu boleh datang untuk mendapatkan khidmat nasihat berkaitan penggunaan produk seperti pam menyusu, pilihan set bersalin dan alat sokongan bersesuaian dengan keperluan serta kehendak peribadi mereka.

“Kalau di luar, ibu mungkin hanya boleh menilai kesesuaian produk menerusi label, gambar atau melihat sampel menerusi almari kaca, di sini kami beri mereka ruang untuk mencuba.

“Melalui cara ini, mereka boleh memilih produk yang tepat dan bersesuaian dengan keperluan serta bajet. Paling penting, mereka boleh berbelanja dengan bijak tanpa perlu membazir pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Zariq berkata, butik berkenaan komited untuk terus menyediakan pilihan pakaian, kelengkapan harian, set tilam kekabu, aksesori dan kereta sorong bayi berkualiti pada harga berpatutan.

“Keunikan butik ini boleh dilihat daripada pilihan jenama produk yang diketengahkan kepada pengguna. Ia mengeluarkan bengkung, beg penyimpanan susu dan kain pelindung menyusu jenama sendiri pada harga cukup munasabah.

“Bagi menjamin kepelbagaian produk, kita juga memperkenalkan produk berpantang dan minuman penggalak susu di bawah jenama Seri Mama. Semua 17 rangkaian produknya terdiri daripada set pilis, mandian herba dan rawatan berpantang yang dihasilkan di kilang mereka di Kemaman, Terengganu serta Kuala Lumpur,” katanya.

MEMAHAMI KEPERLUAN IBU

Melengkapkan keperluan ibu hamil sempena Aidilfitri nanti, Hilmi berkata, dia menjalin kerjasama dengan pengasas Bella Ammara, Syarifah Nabilla Al-Yahya Syed Sheh (Belle Yahya) untuk mengeluarkan koleksi busana ibu mengandung, Bella Mom’s.

“Pakaian ibu hamil ini menampilkan empat koleksi menarik iaitu Kurung Maternity Net, Kurung Maternity Lace, blaus dan seluar. Terdapat empat pilihan warna untuk kurung, enam warna blaus dan dua rona bagi seluar. Saiz pula boleh didapati bermula S hingga XL.

“Seperti kebanyakan koleksi rekaan Belle Yahya yang lain, semua pilihan adalah mesra penyusuan, mudah untuk berwuduk dan patuh syariah. Paling utama, ia selesa dipakai,” katanya.

Majlis pembukaan butik itu diserikan dengan kehadiran pelakon, Sari Yanti dan Belle Yahya sendiri. Pelbagai program menarik turut diadakan termasuk pertandingan bayi comel, demonstrasi penyediaan makanan bayi, cabutan bertuah dan jualan murah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 12:38 PM