UNIK fabrik kulit digabungkan dengan satin suram.
UNIK fabrik kulit digabungkan dengan satin suram.
POLOS dengan sedikit garisan pada lengan jubah.
POLOS dengan sedikit garisan pada lengan jubah.
POTONGAN menawan dengan imej sederhana mencerminkan idea rekaan pereka.
POTONGAN menawan dengan imej sederhana mencerminkan idea rekaan pereka.
SEDIKIT kelainan pada tangan dan kaki memberikan kesan menawan.
SEDIKIT kelainan pada tangan dan kaki memberikan kesan menawan.
Oleh Siti Zarinah Sahib


Jubah yang tergantung di setiap ruang butik yang menempatkan jenama JubahSouq memang ada kelainannya. Tidak sekadar potongan bahkan pemilihan warna dan gabungan fabrik menjadikannya eksklusif serta berada dalam kelas tersendiri.

Benarlah kata orang penghasilan karya seni dari sudut kaca mata lelaki menjanjikan kelainan serta keunikan tersendiri. Begitu juga dengan setiap padanan jubah yang direka pemilik serta pengasas jenama JubahSouq, Mohammad Zaki Muhammad Amin.

Berbicara lebih lanjut, pemegang ijazah Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai ini menjelaskan dia cuba mencari kelainan dalam setiap rekaan jubahnya. Maka terhasillah jubah bersifat sederhana namun nampak istimewa apabila menggabungkan warna fabrik berbeza pada bahagian tertentu.

“Ketika mengeluarkan jubah Aryana ini tidak sangka ramai memberikan maklum balas positif. Ramai menyukainya disebabkan penggunaan fabrik polos dengan sedikit gabungan warna berbeza pada bahagian tertentu,” katanya.

Sedikit demi sedikit dia yang mengusahakan bersama rakan karib, Amirudin Yatin mula bereksperimen dengan menghasilkan pelbagai rekaan dan corak berbeza. Namun prinsip asas masih dikekalkan iaitu tidak mahu berlebih-lebihan dalam penggayaan.

Untuk itu JubahSouq tidak menggunakan perincian manik, sekuin atau batu permata sebaliknya menggabungkan dengan kulit dan renda sebagai asas perhiasan agar busana tetap kekal terutama kepada golongan yang meminatinya.

Selain itu kelebihan JubahSouq pada potongan menawan serta sesuai dengan susuk tubuh wanita Melayu menjadikannya ‘enak’ dipakai sesiapa saja. Mohammad Zaki yang mesra disapa Zack memulakan perniagaan menjual jubah dan abaya secara dalam talian ketika bekerja di Dubai dalam bahagian kejuruteraan minyak dan gas.

“Saya tidak sangka hanya menerusi penjualan dalam talian saya mampu mendapat keuntungan lumayan melebihi gaji setiap bulan. Sejak itu saya merancang menghasilkan rekaan sendiri kerana yakin mampu mencipta fenomena tersendiri,” katanya yang terus melepaskan jawatan sebagai jurutera dengan gaji enam angka.

Menggunakan media sosial Facebook dan kini Instagram sebagai medium pemasaran, Zack percaya keyakinan pelanggan bukan saja disebabkan kualiti serta keselesaan ditampilkan tetapi keunikan dalam setiap rekaan yang dihasilkannya. Pun begitu dia sangat menjaga batas syariat agar aurat wanita terpelihara ketika menggayakannya.

Membuka butik pertama di bangunan Busana kemudian di Shah Alam, JubahSouq dalam perancangan meluaskan penguasaan dalam industri fesyen Muslimah dengan butik seterusnya di Kuantan dan Bandar Baru Bangi. Selain itu jenama ini juga boleh didapati di Modvier Bangsar dan Butik Maleeqa di Kuantan. Untuk maklumat lanjut boleh melayari http://www.jubahsouq.com/ atau Instag­ram jubahsouq.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 5:02 AM