GUIDOLIN.
GUIDOLIN.

Kapten Swansea Ashley Williams (gambar) mengakui terpaksa menyelidik pencapaian Francesco Guidolin pada malam Ahad sebelum kedatangan pengurus Itali itu ke Stadium Liberty.

Pakar taktikal Itali itu dipilih sebagai ketua jurulatih baru Swansea beberapa jam sebelum skuad Wales itu menang 1-0 ke atas Watford di laman sendiri.

Williams menjaringkan gol kemenangan untuk menyelamatkan Swans daripada zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris dan tidak sabar bekerja di bawah kendalian Guidolin selepas menggunakan Google untuk mencari maklumat mengenai pengurus berusia 60 tahun itu.

“Kami mendengar berita itu malam tadi (Ahad) dan semua orang mula melayari Google, membuat penyelidikan dan cuba mendapatkan sebanyak maklumat yang mungkin mengenai beliau,” kata Williams.

“Nampaknya beliau mempunyai rekod yang bagus dan menyaksikan perlawanan itu. Ia sedikit sebanyak memberi semangat kepada semua dan kami cuba membuktikan kepada semua apa yang mampu kami lakukan.”

Guidolin, bekas pengurus Udinese berada di bangku penonton untuk memerhatikan pemain barunya dan pastinya kagum dengan apa yang dilihatnya.

Swansea akhirnya meraih kemenangan dan Williams segera memuji pemangku pengurus Alan Curtis, yang akan kekal di kelab itu bersama Guidolin.

“Alan Curtis menjalankan tugas menakjubkan dengan kakitangan lain yang mengendalikan kami sejak pemergian Garry Monk.

“Beliau (Curtis) seorang yang hebat, beliau bekerja keras dan cuba menjadi sebaik mungkin. Jelas sekali kami memberikannya sokongan penuh.

“Saya kenal Curtis sejak mula berada di sini dan beliau seorang berpesonaliti hebat serta melakukan apa yang diminta pihak kelab.

“Beliau menjalankan tugas dengan baik dan mengemudi kapal ini dengan baik. Kami beraksi dengan baik, berjaya meraih beberapa mata. Pengurus baru sudah tiba tetapi kesannya begitu mendalam di sini.”

Williams, pemain Wales berusia 31 tahun itu yang menjaringkan gol pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris di Stadium Liberty memberi amaran kepada rakan sepasukannya agar tidak leka dengan kejayaan itu.

“Kita tidak perlu terlalu teruja atau meraikan perlawanan ini. Kami perlu kembali berlatih esok (Selasa) dan kembali fokus pada perlawanan berikutnya menentang Everton pada Ahad kerana kami perlu lakukannya.

“Kami berada dalam posisi yang tidak diingini dan perlukan mata sepantas mungkin.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 8:02 AM