ABDUL Ramadhan ketika disoal siasat pihak berkuasa  Lapangan Terbang Adisumarmo.
ABDUL Ramadhan ketika disoal siasat pihak berkuasa Lapangan Terbang Adisumarmo.

Solo: Seorang penumpang pesawat tambang murah Lion Air ditahan pihak berkuasa Lapangan Terbang Adisumarmo di sini kelmarin kerana bergurau dengan memberitahu begnya mengandungi bom.

Gurauan itu menyebabkan penumpang berkenaan, Abdul Ramadhan ditahan dan penerbangan pesawat itu dari Solo ke Jakarta terpaksa ditunda.

Pegawai Lapangan Terbang Adisumarmo, Rini Sri Rahayu berkata, semua penumpang diarah kembali ke ruangan menunggu sementara pihak berkuasa membuat pemeriksaan di dalam pesawat berkenaan.

“Penumpang yang mendakwa begnya mengandungi bom ditahan pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, seorang penumpang, Anshorullah berkata, semua penumpang sudah masuk ke dalam pesawat dan bersiap untuk berlepas.

Katanya, tiba-tiba seorang penumpang yang sedang memasukkan begnya ke dalam ruangan simpanan memberitahu pramugari dia membawa bom.

“Pramugari itu bertanya, apa encik cakap? dan lelaki itu menjawab bom.

“Pramugari itu sekali lagi bertanya, sila ulang encik, dan lelaki itu juga menjawab bom.

“Tidak lama selepas itu semua penumpang diminta keluar dari pesawat dan penerbangan kami ditunda agak lama,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 5:10 AM