SEDUTAN video menunjukkan penumpang berdiri di sayap pesawat dan terjun untuk menyelamatkan diri. - Agensi
SEDUTAN video menunjukkan penumpang berdiri di sayap pesawat dan terjun untuk menyelamatkan diri. - Agensi

Pontianak: Gara-gara bergurau, seorang pelajar universiti ditahan polis apabila mendakwa membawa bom ketika pesawat yang dinaikinya bersedia untuk berlepas hingga mencetuskan panik dalam kalangan penumpang yang lain.

Dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Supadio pada malam kelmarin itu turut menyebabkan 10 penumpang cedera ringan apabila mereka melompat turun dari pesawat.

Jurucakap polis, Didi Haryono berkata, pelajar itu, Frantinus Nirigi, 26, menaiki pesawat Lion Air bersama 189 penumpang lagi yang dalam perjalanan menuju ke Jakarta.

Katanya, ketika pesawat itu bersedia untuk berlepas seorang pramugari menegur satu bungkusan yang tertinggal di lantai pesawat.

“Frantinus dengan bersahaja menjawab bahawa bungkusan itu miliknya dan ia mengandungi bom.

“Jawapan Frantinus itu menyebabkan penumpang lain panik dan ada yang membuka pintu kecemasan untuk keluar serta ada yang terjun dari pesawat,” katanya yang dipetik portal tribunnews.com.

Beberapa rakaman video yang tular di Internet menunjukkan beberapa penumpang berdiri di sayap pesawat selepas keluar dari pintu kecemasan sebelum terjun untuk menyelamatkan diri.

Didi memberitahu, selepas pemeriksaan menyeluruh dilakukan, pihak berkuasa mengesahkan bahawa tiada bom dalam pesawat berkenaan.

“Suspek yang menuntut di Universiti Tanjungpura di Pontianak kini ditahan untuk siasatan lanjut dan mungkin didakwa di mahkamah,” jelasnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 8:08 AM