LAPANGAN Terbang Antarabangsa Fort Lauderdale-Hollywood. FOTO Agensi
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Fort Lauderdale-Hollywood. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Kerana tidak mahu membayar caj bagasi, seorang penumpang mendakwa terdapat ancaman bom di Lapangan Terbang Antarabangsa Fort Lauderdale-Hollywood.

Tindakan Wegal Rosen, 74, itu menyebabkan dia ditahan pihak berkuasa lapangan terbang berkenaan.

Sebelum itu, warga emas berkenaan bertengkar dengan ejen penerbangan selepas dimaklumkan bahawa dia perlu membayar caj bagasi untuk penerbangan ke Toronto.

Daily Star melaporkan dengan marah, Rosen meninggalkan bagasinya di kaunter tiket dan berlalu pergi.

Ketika itu ejen berkenaan memberitahunya bahawa dia perlu membawa beg itu bersama namun Rosen mendakwa beg itu mengandungi bom.

"Ia diikuti dengan tindak balas pegawai lapangan terbang dan pihak berkuasa tempatan.

"Tiga terminal diperiksa, jalan raya ditutup, lapan penerbangan terpaksa dibatalkan manakala puluhan penerbangan yang lain ditunda," kata polis.

Pemeriksaan lanjut mendapati tidak ada bom di dalam beg berkenaan dan tindakan lelaki itu menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut.

Selain pemindahan terminal, ia menyebabkan operasi di lapangan terbang ditutup sepenuhnya, selama lebih empat jam.

Rosen didakwa memberi maklumat palsu mengenai ancaman bom dan berdepan hukuman 15 tahun penjara.

Dia dibicarakan di mahkamah majistret Isnin lalu dan dimaklumkan dia tidak boleh kembali ke lapangan terbang itu, walaupun tidak memiliki senjata atau peluru.

Ini bukan kali pertama Rosen melanggar undang-undang kerana pada 2019, dia dituduh menyerang penduduk di kawasan kejiranannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 6:40 AM