WARGA Indonesia, Kawan Tambunan, 48, dibebaskan dengan denda RM1000 di Mahkamah Majistret Balik Pulau selepas mengeluarkan kata-kata ancaman berkenaan bom. FOTO Amir Irsyad Omar
WARGA Indonesia, Kawan Tambunan, 48, dibebaskan dengan denda RM1000 di Mahkamah Majistret Balik Pulau selepas mengeluarkan kata-kata ancaman berkenaan bom. FOTO Amir Irsyad Omar
Rudy Syareme Sheriffudin


Balik Pulau: Sepasang suami isteri warga Indonesia berusia 48 dan 45 tahun ditahan polis selepas cuba melakukan ugutan bom ketika menaiki pesawat Air Asia di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) Bayan Lepas petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.55 petang itu, pasangan terbabbit berada dalam pesawat Air Asia untuk berlepas dari Pulau Pinang ke Jakarta sebelum diminta pramugari untuk meletakkan beg di ruang atas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Anuar Omar berkata, berdasarkan siasatan, isteri suspek memberitahu dalam beg berkenaan mengandungi wang, namun suspek pula memberitahu di dalam beg itu mengandungi bom.

Beliau berkata, sebagai langkah keselamatan pramugari itu memberitahu penyelia dan pihak keselamatan untuk tindakan lanjut bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Pasangan suami isteri itu kemudian ditahan dan hasil siasatan mendapati mereka datang ke Pulau Pinang untuk menjalani rawatan akibat penyakit jantung dihidapi suspek sejak 17 Julai lalu.

"Hasil siasatan lanjut mendapati suspek cuba bergurau dengan pramugari berkenaan namun gurauan itu membawa padah apabila dia ditahan untuk siasatan lanjut," katanya ketika ditemui semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPDBD) di sini sebentar tadi.

Menurutnya, suspek didakwa di Mahkamah Sesyen Balik Pulau hari ini manakala isterinya pula dibebaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 1:13 PM