GAMBAR hiasan. FOTO Pexels
GAMBAR hiasan. FOTO Pexels
BERNAMA

Jakarta: Penerbangan Pelita Air IP 205 dari Surabaya ke Jakarta pada 1.20 tengah hari waktu tempatan pada Rabu tertunda berikutan seorang penumpang membuat jenaka berkaitan bom.

Pihak berkuasa lapangan terbang mengarahkan pesawat itu bergerak ke kawasan parkir terpencil untuk pemeriksaan menyeluruh oleh anggota keselamatan bersama Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda.

Dalam satu kenyataan, Pelita Air berkata jenaka ancaman bom itu dibuat oleh seorang penumpang bernama Surya Hadi Wijaya, di tempat duduk 14A, semasa pesawat itu mula bergerak ke landasan terbang.

"Protokol keselamatan dipatuhi dengan teliti, dengan pemeriksaan menyeluruh dilakukan ke atas pesawat, penumpang, bagasi, dan barang-barang lain, yang kemudiannya disahkan selamat," katanya.

Penumpang yang bertanggungjawab menyampaikan maklumat palsu yang membahayakan keselamatan penerbangan akan berhadapan tindakan undang-undang dan boleh dihukum penjara satu tahun.

Penerbangan IP 205 itu kemudiannya berlepas ke Jakarta pada 6 petang tanpa penumpang terbabit itu yang ditahan pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 10:52 AM