DUA pegawai PTG tiba di Mahkamah Sesyen Kuantan. FOTO Luqman Hakim Zubir
DUA pegawai PTG tiba di Mahkamah Sesyen Kuantan. FOTO Luqman Hakim Zubir
Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Kuatan: Dua pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang dihadapkan secara berasingan ke Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan menerima rasuah daripada pelombong bauksit haram pada November dan Januari lalu.

Tertuduh, Syed Umar Khalil Syed Khalid, 34, dan Fadly Ab Malek, 35, yang kedua-duanya berasal dari Pekan bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Habibah Mohamed Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, Syed Umar Khalil didakwa menerima suapan RM30,000 untuk memberi perlindungan kepada Anurul Hiraq Abu Bakar, 33, yang menjalankan aktiviti perlombongan bauksit secara haram.

Dia melakukan kesalahan itu di perkarangan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), di sini, pada 7.35 malam 6 Januari lalu .

Sementara itu, Fadly turut didakwa menerima jumlah suapan yang sama daripada Anurul Hiraq di dalam kereta di perkarangan LTSAS pada hari sama antara 12.20 hingga 12.40 tengah hari.

Fadly juga didakwa dengan satu lagi pertuduhan iaitu menerima suapan bernilai RM35,000 untuk memberi perlindungan kepada Anurul Hiraq dengan menjual borang 13D [subperaturan 84(4)] di bawah Peraturan-Peraturan Mineral 2005 atas nama syarikat Aras kuasa Sdn Bhd.

Dia melakukan kesalahan itu di dalam kereta bersebelahan Restoran Santai, Jalan Teluk Baharu 5, Kampung Baru Peramu, di sini, antara 4 hingga 4.30 petang pada 18 November 2015.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syafinas Shabudin.

Habibah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dan menetapkan tarikh 5 Februari depan untuk sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 11:55 AM