TERTUDUH (tengah) menghadapi sembilan pertuduhan. FOTO Farizul Hafiz Awang
TERTUDUH (tengah) menghadapi sembilan pertuduhan. FOTO Farizul Hafiz Awang
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


BEKAS pegawai tentera berpangkat Leftenan Kolonel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini, atas sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM20,794 dan salah guna kuasa sejak dua tahun lalu.

Tertuduh, Shahril Hisham Abdul Razak, 57, dari Taman Bahagia, Temerloh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Ali.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Staf 1 (Ketua Zon) di Pejabat Senggaraan Zon Timur, Kem Batu 3, Temerloh menerima suapan berkenaan dari 17 November hingga 22 Disember 2016 di Malayan Banking Berhad, Jalan Bukit Ubi, di sini.

Tertuduh juga didakwa menyalahguna kuasa dengan mencadangkan supaya syarikat milik keluarganya, Abd Razak Am Enterprise untuk menjalankan kerja penyelenggaraan di 11 Skuadron RAJD Mekanis, Temerloh dan Kolej Perisikan Angkatan Tentera Malaysia, Mentakab pada 20 November 2015 dan 12 April 2016 yang bernilai RM75,000.

Habibah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 4 Julai depan sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry manakala tertuduh diwakili Aiman As'ad Mohd Ghani.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 4:17 PM