AZHAR Azizan Harun. FOT Bernama
AZHAR Azizan Harun. FOT Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, selaku Wakil Khas kepada Perdana Menteri akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja dari 10 hingga 13 Nov.

Selain daripada Sidang Kemuncak Asean, beliau juga akan menyertai Sidang Kemuncak Asean Campur Satu dengan Pemimpin dari Australia, Kanada, China, India, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, serta Sidang Kemuncak Asean Campur Tiga dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).

Di luar acara Sidang Kemuncak Asean, Malaysia juga akan mengambil bahagian dalam Sesi Suamuka antara Pemimpin Asean dengan Perwakilan Perhimpunan Antara Parlimen Asean (AIPA), Belia Asean dan Majlis Penasihat Perniagaan Asean (Asean-BAC), kata Kementerian Luar dalam kenyataan pada Khamis.

Pemimpin dan Perwakilan Asean juga akan menghadap Raja Kemboja Yang Mulia Preah Bat Samdech Preah Boromneath Norodom Sihamoni.

"Penyertaan Malaysia pada Sidang Kemuncak Asean mencerminkan komitmennya yang tidak berbelah bahagi kepada Asean, termasuk dalam mempromosi kepusatan dan kesatuan Asean, usaha membina komuniti dan penglibatan dan kerjasama berterusan dengan Rakan Dialog Asean dan pihak luar, di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang memuncak di peringkat global dan dinamik serantau yang mencabar.

"Malaysia juga akan mengulangi pendiriannya berhubung situasi di Myanmar dan menyeru agar Asean mengambil sikap yang lebih tegas dalam perbincangan pada Sidang Kemuncak Asean," menurut kenyataan itu.

Tema Sidang Kemuncak Asean dan Sidang Kemuncak Berkaitan tahun ini adalah "Asean A.C.T.: Menangani Cabaran Bersama."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 11:50 AM