Oleh Mohd Hilmie Hussin


Alor Gajah: Jenazah Kapten Hasman Hussin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Solok Air Batu, Durian Daun, di sini, 7 malam tadi.

Kira-kira 1,000 sanak saudara, rakan taulan, anggota tentera dan orang kenamaan hadir bagi memberi penghormatan terakhir.

Antara yang hadir, Yang Dipertua negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis serta Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Terdahuku, jenazah Allahyarham selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1.18 tengah hari tadi sebelum dibawa ke Masjid As-Syuhada Kem Terendak Melaka untuk solat jenazah.

Jenazah kemudian dibawa ke Surau SM Agama Ulul Albab sebelum dikebumikan

Hasman, 33, lemas selepas kenderaan dinaiki bersama empat rakan tentera dari negara lain dihanyutkan arus deras di Missouri, Amerika Syarikat, pada 26 Disember lalu.

Beliau mengikuti kursus di kem tentera AS Fort Leonard Wood, Missouri bermula 1 Oktober tahun lalu dan kursus dijadual berakhir April ini.

Mayatnya ditemui pada 11 pagi waktu tempatan, 28 Disember lalu.

Allahyarham meninggalkan balu Siti Hazwani Ahmad, 29, dan tiga anak termasuk kembar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 7:59 PM
Jenazah Kapten Hasman diusung anggota tentera sebaik tiba untuk disembahyangkan di Masjid  As-Syuhada, Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka. FOTO Sairin Nafis
Jenazah Kapten Hasman diusung anggota tentera sebaik tiba untuk disembahyangkan di Masjid As-Syuhada, Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka. FOTO Sairin Nafis