RUNTUHAN berlaku di Tanah Perkuburan Islam kampung Bako. FOTO ihsan Bomba
RUNTUHAN berlaku di Tanah Perkuburan Islam kampung Bako. FOTO ihsan Bomba
Oleh Abd Rahman Adam


Kuching: Hujan lebat berterusan lebih 10 jam turut menyebabkan berlaku runtuhan di kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Bako, di sini, 1.30 petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, berkata, sekurang-kurangnya lima kubur terjejas, manakala yang lain mengalami kerosakan berikutan pergerakan tanah di lokasi kejadian yang terletak di lereng bukit.

Katanya, setakat ini, pihaknya sudah menempatkan pegawai dan anggota di lokasi terbabit bagi memantau keadaan.

"Kampung Bako antara kawasan penempatan yang terjejas dalam kejadian banjir sejak jam 10 pagi tadi. Bagaimanapun, tiada sebarang insiden tidak diingini, termasuk kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan setakat ini," katanya.

Farhan berkata, pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bako sudah dibuka sebagai persediaan menempatkan pemindahan mangsa banjir.

Bagaimanapun, katanya, sehingga 2 petang tadi, belum ada pemindahan membabitkan penduduk di sekolah itu.

"Keseluruhannya, 10 keluarga di Kampung Bako dan Kampung Hijrah terjejas, namun masih belum berpindah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 3:25 PM