PUSAT pemindahan yang sudah ditutup selepas banjir mula surut. FOTO ihsan Bomba
PUSAT pemindahan yang sudah ditutup selepas banjir mula surut. FOTO ihsan Bomba
Oleh Nurul Hidayah Bahaudin


Kuching: Seramai 518 mangsa daripada 134 keluarga yang terjejas akibat banjir semalam masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan membabitkan Bahagian Kuching dan Samarahan sehingga 5 petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, jumlah mangsa yang ditempatkan ke pusat pemindahan banjir berkurangan memandangkan keadaan banjir sudah mula surut di beberapa kawasan.

"Tiga pusat pemindahan masih dibuka itu ialah Balai Raya Kampung Paon, Sematan yang menempatkan 48 mangsa, Sekolah Kebangsaan (SK) Beradek (395) dan Dewan Suarah Samarahan (75).

"Lima lagi pusat pemindahan yang dibuka sejak petang semalam membabitkan SK Tamirat, Asajaya; Dewan Komuniti Kampung Jaie, Sadong Jaya; SK Haji Bujang Rangawan Putin, Dewan Stapok dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tabuan Jaya ditutup pada 3 petang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Farhan berkata, walaupun ada penduduk yang sudah balik ke rumah masing-masing, namun pihaknya mengingatkan orang ramai supaya sentiasa bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir berulang semula kerana hujan lebat masih berlanjutan sehingga petang tadi.

"Kebanyakan lokasi yang dilanda banjir di Bahagian Kuching dan Samarahan terletak di kawasan rendah dan berhampiran sungai, sekali gus menyebabkan ada kemungkinan banjir berlaku semula sekiranya hujan lebat berterusan, selain air pasang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 7:24 PM