Oleh Abd Rahman Adam


Kuching: Hujan lebat luar biasa seawal 3 pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan rendah di sekitar bandar raya ini termasuk Petra Jaya, di sini, mengalami banjir.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, hujan lebat menyebabkan sekurang-kurangnya enam kawasan penempatan terjejas apabila dimasuki air antara 0.5 hingga satu meter.

Katanya, antara kampung yang terjejas termasuklah Kampung Samariang Baru Fasa III, apabila sekurang-kurangnya 10 rumah penduduk mula dinaiki air.

"Beberapa kawasan lain terjejas termasuklah Kampung Nada, di Muara Tabuan, Kampung Tabuan Dayak, Kampung Bako Indah dan Kampung Hijrah (Bako), Taman Desa Wira (Batu Kawah) dan Kampung Beradek (Muara Tebas).

"Selain berada di kawasan rendah, kedudukan penempatan terbabit berada berhampiran tebing sungai sekali gus menyebabkan kediaman mereka terdedah kepada banjir," katanya.

Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada mangsa dipindahkan, namun langkah berjaga-jaga sudah diambil termasuk persiapan dari segi logistik dan kekuatan anggota bagi membantu memindahkan penduduk terbabit jika perlu.

Farhan berkata, beberapa laluan di sekitar bandar raya ini termasuk Padang Merdeka turut mengalami banjir kilat namun keadaan masih terkawal.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dengan kerjasama beberapa agensi lain diletakkan dalam keadaan bersiapsiaga bagi menghadapi kemungkinan banjir berikutan hujan luar biasa yang dijangka bertembung fenomena air pasang besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 2:59 PM