Abdullah Hasnan menyerahkan insentif kepada petani semasa Majlis Penyampaian Insentif NKEA Kumpulan dan Hari Bertemu Pelanggan PPK B-IV Pengakalan Kundur, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Abdullah Hasnan menyerahkan insentif kepada petani semasa Majlis Penyampaian Insentif NKEA Kumpulan dan Hari Bertemu Pelanggan PPK B-IV Pengakalan Kundur, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Petani di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) diminta melakukan solat hajat memohon hujan bagi membantu proses penanaman padi musim satu 2017 pada pertengahan bulan depan.

Ahli Lembaga Pengarah MADA Datuk Abdullah Hasnan Kamaruddin berkata, hampir 70,000 petani yang majoritinya beragama Islam diharap dapat melakukan solat hajat supaya penanaman padi di 100,000 hektar sawah di Kedah dan Perlis berjalan lancar.

Katanya, air hujan membantu percambahan benih melalui kaedah tabur kering sekali gus memberi harapan lebih baik kepada petani untuk menuai hasil.

"Sehingga kini, air di empangan selian MADA iaitu empangan Pedu, Ahning dan Muda berada pada paras 58 peratus di mana jumlah ini tidak mencukupi untuk disalurkan kepada petani memandangkan air ini lebih diperlukan untuk kegunaan domestik.

"Kita memerlukan sekurang-kurangnya paras air sehingga 80 peratus di tiga empangan terbabit. Justeru kaedah tabur kering ini mesti diteruskan namun dalam masa sama, kita perlukan berdoa supaya hujan bagi membantu petani memulakan musim pertama tahun ini," katanya selepas Majlis Penyampaian Insentif Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi Pertanian (NKEA) Kumpulan dan Hari Bertemu Pelanggan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) B-IV Pengkalan Kundur di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 2:30 PM