PENERBIT, pengarah teater dan barisan pelakon yang hadir pada sidang media teater Bahara Emas di Istana Budaya.
PENERBIT, pengarah teater dan barisan pelakon yang hadir pada sidang media teater Bahara Emas di Istana Budaya.
Ramlah Zainal


Gejala rasuah, salah guna kuasa dan tamak hingga menyebabkan kejatuhan sebuah empayar hebat oleh kuasa asing antara paparan menarik dalam Teater Bahara Emas yang bakal dipentaskan di Auditorium DBP bermula Oktober depan.

Teater itu anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama CTRA Production, DBP, Istana Budaya dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Menurut Dekan Fakulti Teater ASWARA yang juga pengarah teater ini, Siti Rosminah Tahir, Teater Bahara Emas adalah naskhah klasik daripada cerita sejarah Melayu dan Tun Seri Lanang.

“Selain diberi kepercayaan mengarah, saya juga bertindak selaku penulis skrip untuk projek teater SPRM ini.

“Teater ini mengisahkan kejatuhan pemerintahan kesultanan Melayu Melaka berikutan gejala rasuah dalam kalangan rakyat dan pemimpin,” katanya.

Siti Rosminah berkata, selain pelakon komersial dan popular, seramai 40 barisan pelakon pembantu terbabit dalam pementasan teater itu nanti.

“Barisan pelakon komersial yang menerajui pementasan ini ialah Esma Daniel, Datuk Jalaluddin Hassan, Farahdhiya, Amar Asyraf, Izzue Islam, kumpulan Forteen, Mardiana Alwi, Eyzendy Aziz, Zera Hariz, Aman Nasim dan Mubarak Majid.

“Teater ini turut memuatkan lebih 10 lagu ciptaan komposer terkenal Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah).

“Saya juga menulis lirik untuk rangkaian lagu yang dicipta khas untuk teater ini iaitu Cinta Semalar Segar, Puji Sahabat, Bahara Emas, Serikandi Pertiwi dan Gurindam Melaka,” katanya.

Siti Rosminah ditemui pada sidang media Teater Bahara Emas yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad dan Penerbit Teater Bahara Emas, Siti Rohayah Attan.

Sementara itu, Siti Rohayah berkata, Bahara Emas dipilih sebagai salah satu aktiviti untuk mengisi program sambutan ulang tahun ke-50 SPRM mulai Oktober depan.

“Orang ramai terutama peminat teater tempatan diminta tidak melepaskan peluang menonton pementasan yang juga projek teater sulung SPRM ini kerana selain percuma, ia dapat menggalakkan masyarakat mendekati SPRM melalui seni,” katanya.

Pementasan Bahara Emas akan mula dipentaskan di Auditorium DBP Kuala Lumpur bermula 19 hingga 22 Oktober nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 3:36 AM