CEF WAN (kanan) dan Lee memegang hidangan organik menggunakan bahan organik daripada BMS Organics.
CEF WAN (kanan) dan Lee memegang hidangan organik menggunakan bahan organik daripada BMS Organics.
CEF Wan menunjukkan langkah demi langkah menyediakan hidangan menggunakan bahan organik.
CEF Wan menunjukkan langkah demi langkah menyediakan hidangan menggunakan bahan organik.
MI kari menggunakan susu soya.
MI kari menggunakan susu soya.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Lancet di United Kingdom pada 2013, Malaysia diklasifikasikan sebagai negara yang mempunyai kadar obesiti tertinggi di Asia.

Berbanding nisbah global dalam lingkungan 30 peratus, hampir 45 peratus lelaki dan 49 peratus wanita Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau obes. Obesiti juga dikenal pasti sebagai salah satu faktor risiko diabetes dan penyakit jantung iaitu pembunuh nombor satu di Malaysia.

Memandangkan peningkatan obesiti dan penyakit kardiovaskular di negara ini, adalah penting setiap individu mempunyai diet seimbang dan mengekalkan gaya hidup sihat.

Namun kepelbagaian bangsa di negara ini menjadikan usaha menjaga pemakanan agak sukar kerana setiap kaum baik Melayu, Cina, India dan Peranakan mempunyai makanan mereka sendiri yang menyelerakan. Selain itu, tanggapan bahawa makanan sihat itu tidak sedap dan tidak menawarkan keseronokan turut membataskan langkah ke arah penjagaan kesihatan.

Jadi apa yang harus dilakukan agar elemen keseronokan menikmati makanan dan kesihatan dapat dinikmati pada satu masa? Pepatah mengatakan kita adalah apa yang kita makan. Cara paling mudah untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan bertukar kepada makanan organik serta memperbanyakkan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet harian.

Namun ramai percaya dengan beralih arah kepada kepada organik ia menyekat keinginan untuk menikmati makanan yang diinginkan seperti nasi lemak, asam laksa atau mi kari.

“Ini tanggapan yang salah. Ramai menganggap makanan organik kurang lazat dan enak. Ia hanya salah faham. Sebenarnya banyak hidangan berasaskan sayur-sayuran sangat sedap jika kena cara penyediaannya,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif BMS Organics Terry Lee pada majlis perasmian kedai BMS Organics cawangan ke-43 di MidValley Megamall.

Menjelaskan lebih lanjut, ujar Lee, perkataan organik yang digunakan dalam istilah makanan organik hanya merujuk kepada cara makanan itu dihasilkan iaitu teknik penghasilan makanan yang sepenuhnya secara semula jadi.

“Dalam erti kata lain, makanan organik adalah makanan yang dikembangkan atau dihasilkan secara alami, tanpa ubat-ubatan, hormon pertumbuhan, antibiotik, vaksinasi, pewarna atau sebarang bahan kimia. Ia dihasilkan secara alami iaitu kembali kepada cara yang dilakukan nenek moyang kita dulu,” katanya.

Oleh sebab makanan organik kaya serat, tetapi rendah gula dan lemak, ia boleh membantu mengurangkan risiko kolesterol tinggi dan tekanan darah tinggi yang berpunca daripada pemakanan kurang sihat.

Hasil tanaman dan produk yang disahkan organik juga tidak mengandungi racun perosak, perisa tiruan, pewarna dan pengawet. Oleh demikian, makanan organik berupaya membantu mengurangkan pendedahan kepada bahan kimia yang mengancam kesihatan.

Selain penghasilan makanan itu sendiri, gaya hidup sihat juga boleh dimulakan dengan menukar pengambilan makanan yang banyak memberi kesan kepada tubuh. Misalnya gula putih boleh ditukar kepada gula perang (organik) yang dihasilkan daripada perahan jus tebu atau nira tidak dibuang menjadikan warnanya perang.

Begitu juga dengan minyak masak yang mengandungi kolesterol boleh ditukar kepada minyak biji anggur (grape seed oil) yang boleh digunakan menggoreng, membakar atau memanggang bagi menggantikan minyak zaitun.

“Selain bebas kolesterol minyak ini dapat meningkatkan rasa makanan. Dengan hanya sedikit minyak biji anggur ia dapat menggantikan penggunaan minyak biasa sekali gus membolehkan kita menikmati makanan yang berkhasiat.

“Ia dapat menambahkan kelazatan makanan dan menjaga tahap kolesterol dalam makanan,” kata Lee yang turut menggalakkan masyarakat menggunakan garam organik berbanding garam biasa.

Apa yang perlu dilakukan adalah menukar bahan masakan sedikit demi sedikit sebelum melakukan perubahan lebih besar.

Kurang daging lebih sihat

Banyak organisasi kesihatan dunia kini menggalakkan orang ramai mengurangkan pengambilan daging untuk meningkatkan taraf kesihatan. Satu kajian pada 2010 oleh Jabatan Kesihatan Awam di Universiti Oxford mendapati mengambil daging tidak melebihi tiga kali seminggu boleh mengurangkan 31,000 kematian akibat penyakit jantung, 9,000 kematian akibat kanser dan 5,000 kematian akibat strok.

Satu kajian oleh Persatuan Diabetes Amerika mendapati mereka yang mengamalkan pemakanan tanpa daging juga mengalami pengurangan risiko diabetes jenis 2.

Sejajar dengan peningkatan kesedaran mengenai manfaat kesihatan apabila mengurangkan pengambilan daging, kempen ‘Isnin Tanpa Daging’ kini berkembang di seluruh dunia.

Kempen ini menggalakkan orang ramai tidak mengambil daging pada hari Isnin bagi meningkatkan kesihatan badan dan kelestarian bumi. Ini kerana pengeluaran daging menjana hampir 20 peratus gas kesan rumah hijau buatan manusia yang mempercepatkan perubahan iklim dan menggunakan 20 kali lebih bahan api untuk menghasilkan bahan makanan untuk lembu ternakan bagi memperoleh protein daging berbanding protein berasaskan tumbuhan.

Jelas Lee, kempen Isnin Tanpa Daging juga menjadi permulaan kepada seluruh rakyat Malaysia mengubah pemakanan mereka menjadi lebih sihat.

“Mungkin bermula dengan sehari dalam seminggu kemudian ditambah kepada dua hari dan anda akan merasakan badan menjadi lebih sihat dan bertenaga apabila banyak mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan,” kata Lee yang langsung tidak mengambil daging dalam makanan hariannya.

Pada majlis yang sama cef selebriti Datuk Redzuawan Ismail atau dikenali Cef Wan turut menyertai misi membantu rakyat Malaysia mengamalkan pemakanan sihat. Untuk mencapai misi ini, satu kerjasama strategik dibentuk oleh Cef Wan dan BMS Organics.

“BMS Organics dan Cef Wan berkongsi satu wawasan murni iaitu membantu rakyat Malaysia mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat. Dengan memanfaatkan kesungguhan dan kepakaran Cef Wan dalam bidang kulinari, BMS Organics boleh menyajikan masakan Malaysia yang lazat dan berkhasiat menggunakan produk organik,” kata Terry.

Pada majlis yang sama Cef Wan dan BMS Organics berganding bahu menghidangkan tiga sajian kegemaran rakyat Malaysia, iaitu nasi lemak, laksa kari susu soya organik dan asam laksa bihun. Ketiga-tiga hidangan ini diberi sentuhan baru yang memikat selera.

Menurut Cef Wan, rakyat Malaysia sudah terbiasa dengan masakan enak, terutamanya berasaskan kari dan daging. Malangnya keghairahan terhadap makanan enak menyebabkan makanan dihasilkan kurang menyihatkan.

“Sebagai cef, saya bertanggungjawab membantu warga Malaysia membentuk kembali budaya pemakanan sihat agar ia menjadi amalan dalam kehidupan seharian.

“Kita sedia maklum pemakanan harian kita kekurangan serat. Oleh itu, dalam misi membentuk Malaysia yang lebih sihat, saya menambah kebaikan serat dalam masakan kegemaran dengan memilih sayur-sayuran dan produk organik,” kata Cef Wan yang berkongsi tiga resipi istimewa.

Kerjasama strategik itu sebahagian daripada inisiatif untuk menggalakkan Isnin Tanpa Daging. Sebagai ganti, kita boleh menyediakan hidangan tanpa daging yang lazat dan berkhasiat, yang boleh membawa perubahan besar kepada kesihatan. Untuk mendapatkan resipi sihat ini boleh layari bmsorganics.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015 @ 11:01 AM