ANTARA menu organik yang menyelerakan.
ANTARA menu organik yang menyelerakan.
Faizatul Farlin Farush Khan


Ramai yang beranggapan makanan sihat atau organik, pasti mempunyai rasa kurang enak atau tidak menyelerakan akibat sudah terbiasa dengan persepsi sebegitu.

Pandangan itu juga mungkin kerana kebanyakan makanan organik sememangnya kurang rasa hingga membuatkan selera terbantut untuk menikmatinya.

Bagaimanapun, hidangan organik tidak seharusnya memiliki rasa tidak enak sekiranya diadun menggunakan pelbagai perisa rempah yang pasti membangkitkan selera.

Amalan pengambilan makanan organik baik untuk kesihatan kerana ia kaya dengan serat tetapi kurang gula dan lemak, seterusnya membantu mengurangkan risiko kolesterol tinggi serta tekanan darah tinggi berpunca daripada pemakanan tidak sihat.

Selain itu, produk organik juga baik untuk kesihatan kerana ia bebas daripada racun perosak, perasa tiruan, pewarna dan bahan pengawet, sekali gus mengurangkan pendedahan terhadap bahan kimia berbahaya.

Ketua Pegawai Eksekutif BMS Organics, Terry Lee berkata, pemakanan yang sihat dan seimbang penting sebagai sebahagian usaha mengekalkan gaya hidup sihat.

Bagaimanapun, katanya, di Malaysia terdapat pelbagai makanan enak tetapi kurang menyihatkan hingga ia seakan-akan satu cabaran kepada orang ramai yang mahu mengamalkan pemakanan sihat.

“Ini seterusnya boleh mendorong kepada tabiat pemakanan tidak sihat, seterusnya mencetuskan masalah kesihatan kardiovaskular.

“Mengurangkan daging dan melebihkan pengambilan sayur-sayuran dalam sajian yang betul adalah satu permulaan baik untuk mengekalkan kesihatan tubuh.

“Makan lebih banyak sayur-sayuran bukanlah satu keputusan yang sukar atau mencabar tetapi apabila kepentingannya disedari, kita perlu mencuba gaya hidup organik perlahan-lahan bersesuaian dengan kehidupan dan mulakan dengan pemakanan harian kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran menu terbaru pelbagai hidangan organik di restoran BMS Organics, baru-baru ini.

Pada masa sama, Lee turut melancarkan kempen komuniti Green Monday bersama menu sayuran terkini untuk menggalakkan rakyat di negara ini menikmati makanan organik bagi memelihara kesihatan mereka.

Kempen itu sejajar usaha global dan kerajaan dalam melaksanakan pelbagai aktiviti dan memupuk kesedaran menjaga kesihatan melalui pemakanan seimbang dan sihat.

Menurut Lee, ramai mempunyai tanggapan hidangan organik atau apa saja yang berbentuk organik semestinya tidak enak tetapi ia ternyata tidak benar kerana kebanyakan hidangan sayur atau berasaskan bahan organik boleh dihasilkan dengan lazat.

“Kami menyediakan menu sayuran yang menggunakan bahan enak dan dihidangkan dengan cara menarik, berwarna-warni dan menyelerakan, seterusnya mampu membuatkan orang berselera,” katanya.

Menu baru itu terdiri daripada hidangan sarapan, makan tengah hari, makan malam, snek dan hidangan kanak-kanak, menyediakan jumlah keperluan khasiat sesuai untuk pemakanan sihat sepanjang hari.

Terdapat lebih 60 sajian pada menu terkini dengan kebanyakannya sama ada diperbaharui atau menampilkan konsep baru sepenuhnya.

Hidangan berwarna-warni dan menarik seperti Summer Grain Quinoa, Salad Organik Harvest, Fruity Nutty French Toast, Buah Naga Yogurt Segar, Nasi Organik 8-Vege, Lei-Cha Delights serta Kari Organik mempunyai daya tarikan dari segi rasa dan penampilan menyelerakan.

Pengunjung boleh merasai menu sayur-sayuran baru itu di 19 cawangan restoran BMS di seluruh Lembah Klang.

Kempen Green Monday anjuran BMS Organics pula menyarankan orang ramai mencuba makanan organik sekurang-kurangnya sekali seminggu dan memulakannya pada Isnin. Ia turut menawarkan hidangan kedua secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 5:01 AM