DR Han Hong Juan memberi penjelasan mengenai bagaimana data tidur dikumpul dan dianalisis ketika mendiagnosis pesakit masalah tidur.
DR Han Hong Juan memberi penjelasan mengenai bagaimana data tidur dikumpul dan dianalisis ketika mendiagnosis pesakit masalah tidur.
Zaitie Satibi

Dianggarkan lebih 100 juta penduduk dunia mengalami gangguan tidur dikenali apnea.

Malangnya, 80 peratus daripada mereka tidak didiagnosis, manakala 30 peratus lagi mengalami kesukaran untuk tidur dan mendapatkan tidur berkualiti.

Tidur yang cukup penting untuk kesihatan, namun hanya satu pertiga daripada mereka yang mengalami gangguan tidur mencari bantuan profesional.

Pengarah Pendidikan Awam dan Epidemiologi Pusat Tidur SingHealth Duke-NUS, Singapura, Dr Mok Yingjuan berkata, gangguan tidur akibat saluran pernafasan terhalang atau apnea (OSA) mengakibatkan aras oksigen menjadi rendah dan tidur terganggu.

Akibatnya, pesakit akan keletihan pada siang hari sehingga menjejaskan prestasi di tempat kerja atau di sekolah dan lebih buruk apabila menjadi punca kepada masalah jantung yang serius.

“Dalam kajian dijalankan baru-baru ini, seorang daripada tiga penduduk Singapura menderita OSA daripada tahap sederhana sehingga teruk. Malangnya, banyak kes OSA di republik itu masih belum didiagnosis.

“Oleh itu, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap masalah ini supaya dapat dibimbing mendapatkan rawatan yang berkesan,” katanya.

Bagi menambah baik hasil klinikal dalam penjagaan dan terapi dalam rawatan masalah tidur, Philips dan SingHealth menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pada Ogos tahun lalu.

MoU itu bertujuan menjalin kerjasama menyediakan penjagaan pesakit berkualiti bersepadu, pendidikan klinikal dan usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap OSA.

Philips akan menggunakan pengalaman lebih 30 tahun dalam pengurusan apnea tidur dan penyelesaian penjagaan pernafasan daripada peringkat diagnosis sehingga menjalani terapi dan menguruskan OSA.

Kedua-dua pihak akan bekerjasama menjalankan penyelidikan, latihan amali, kempen kesedaran gangguan tidur dan program turun padang di Singapura serta rantau ini.

“Kami berharap program pendidikan klinikal dijalankan di Pusat Pendidikan Tidur dan Respiratori Philips yang baru dibuka dapat melatih lebih ramai profesional mentafsir data daripada ujian tidur rumah dan kajian tidur di makmal,” katanya berucap pada majlis perasmian pusat kajian tidur pertama di Asia Tenggara, baru-baru ini.

(DARI kiri) perunding Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak, Dr Han Hong Juan, Lai, and Dr Mok memotong riben simbolik perasmian Pusat Pendidikan Tidur dan Respiratori Philips di Singapura, baru-baru ini.
(DARI kiri) perunding Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak, Dr Han Hong Juan, Lai, and Dr Mok memotong riben simbolik perasmian Pusat Pendidikan Tidur dan Respiratori Philips di Singapura, baru-baru ini.

Kemudahan di kawasan seluas 102 meter persegi itu direka peneraju global dalam teknologi kesihatan, Royal Philips, untuk menjalankan pemerhatian dan simulasi tepat diagnosis tidur pesakit.

Seorang juruteknik tidur akan merekod dan menganalisis data diperoleh daripada pesakit yang sedang tidur.

Inovasi ini juga menggunakan realiti maya dalam bilik interaksi untuk mensimulasikan pola tidur tidak normal pesakit ketika kajian tidur termasuk pergerakan anggota badan, pergerakan mata yang cepat dan kesukaran pernafasan.

Philips turut mengumumkan pelancaran siri program latihan sempena pembukaan pusat berkenaan yang akan dijalankan oleh pakar perubatan masalah tidur dan respiratori antarabangsa termasuk Ketua Perhubungan Perubatan Philips, Dr TeoFilo Leechiong dan Ketua Pegawai Perubatan Philips Dr David White.

Pakar tidur yang berkelayakan dari hospital berprofil tinggi dan rakan kongsi kumpulan penjagaan kesihatan termasuk SingHealth juga akan menjalani latihan berkenaan.

Pusat Pendidikan Tidur dan Respiratori Philips juga direka untuk meningkatkan kemahiran pakar terapi tidur dan respiratori terkini termasuk penggunaan alat Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) ‘Family Dream’, penyelesaian pengudaraan di rumah, terapi oksigen dan penghantaran ubat pernafasan.

Mereka turut dilatih menggunakan alat digital inovasi Philips untuk memastikan pesakit bermotivasi menggunakan terapi seperti ditetapkan.

Sementara itu, Pengurus Philips Singapura, Ivy Lai berkata, pihaknya berhasrat meningkatkan kehidupan rakyat menerusi tidur yang cukup dan berkualiti asas kepada kesihatan serta kesejahteraan.

“Melalui teknologi yang ada dan kemajuan ujian yang boleh dilakukan di rumah, menjadikannya lebih mudah untuk mereka yang mengalami gangguan tidur mendapatkan bantuan profesional.

“Pusat ini menyediakan pendidikan dan latihan terbaik daripada pakar gangguan tidur dunia bagi menangani jurang semasa dalam kalangan profesional berkelayakan di Asia Tenggara.

“Ini membolehkan diagnosis dan rawatan tepat dapat diberikan kepada mereka yang mengalami gangguan tidur,” katanya.

Dalam pada meningkatkan kesedaran melalui pendidikan mengenai kepentingan dan manfaat tidur, Philips membuat inovasi penyelesaian masalah tidur yang berpandukan bukti klinikal dan data teknikal yang apabila digabungkan kedua-duanya dapat menggalakkan kesihatan lebih baik.

Pendek kata, daripada penyelesaian klinikal direka untuk mengurus apnea tidur dengan lebih baik kepada teknologi moden yang direka untuk membantu pesakit memulakan hari mereka secara semula jadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 12:18 AM