TIDUR berdengkur sering dikesan oleh pasangan atau teman sebilik.
TIDUR berdengkur sering dikesan oleh pasangan atau teman sebilik.
Muhamaad Razis Ismail


MUNGKIN satu perbuatan mengaibkan apabila wanita berdengkur kuat ketika tidur.

Hakikatnya, isu berdengkur sebenarnya melangkaui persempadanan jantina kerana tidak kira lelaki atau wanita, boleh mengalami masalah sama.

Pakar Otorinolaringologi-Pembedahan Kepala dan Leher Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Mawaddah Azman berkata, berdengkur adalah suatu masalah yang kerap berlaku dalam kalangan pen

duduk di Malaysia.

"Sebuah kajian dalam kalangan populasi negara mendapati sekitar 47.3 peratus responden berusia 30 hingga 70 tahun mengalami masalah berdengkur setiap hari.

"Bagaimanapun, lelaki terbukti lebih rentan mengalami masalah ini berikutan prevalen berdengkur dalam kalangan wanita adalah jauh lebih rendah.

"Golongan lelaki juga lebih cenderung mengalami masalah berdengkur yang dikaitkan dengan penyakit Obstructive Sleep Apnea (OSA) berbanding wanita," katanya.

Secara amnya, masalah berdengkur berlaku disebabkan penyempitan pada saluran pernafasan atas di bahagian kepala dan leher ketika tidur.

Katanya, ini kerana dalam keadaan tidur, badan yang berbaring menyebabkan penyempitan yang lebih ketara berbanding dalam keadaan terjaga.

"Apabila udara terpaksa melalui saluran yang sempit, keadaan arus udara yang bergelora terhasil seterusnya menggetarkan lapisan saluran pernafasan untuk menghasilkan bunyi berdengkur. Dengkuran yang kuat terhasil daripada penyumbatan yang lebih teruk berbanding dengkuran yang lembut.

"Masalah berdengkur mungkin sukar disedari wanita sendiri memandangkan masalah itu berlaku ketika tidur. Justeru itu, gejala ini sering dikesan oleh pasangan atau teman sebilik," katanya.

Jelasnya, ada beberapa sebab masalah tidur berdengkur dalam kalangan wanita antaranya masalah alahan hidung, bengkok septum hidung, adenoid dan tonsil yang menyempitkan saluran pernafasan.

WANITA berdengkur lebih cenderung mengalami masalah lelangit lembut yang panjang hingga menutup rongga pernafasan di belakang lidah.
WANITA berdengkur lebih cenderung mengalami masalah lelangit lembut yang panjang hingga menutup rongga pernafasan di belakang lidah.

"Selain itu, masalah tisu lemak di kawasan tengkuk turut menyempitkan saluran pernafasan. Masalah ini sering kali dikaitkan dengan obesiti atau kenaikan berat badan dalam kalangan wanita sesudah bersalin.

"Faktor genetik yang mempengaruhi bentuk rahang atas dan bawah seseorang wanita yang menyebabkan penyempitan kepada saluran pernafasan dan kelemahan pada otot-otot di kawasan tekak yang sepatutnya membuka saluran pernafasan ketika tidur," katanya.

Dr Mawaddah berkata, wanita yang berisiko mengalami tidur berdengkur adalah dalam kalangan individu yang mempunyai usia lebih lanjut.

"Wanita yang mengamal gaya hidup tidak sihat seperti merokok dan mengambil alkohol turut memiliki risiko mengalami masalah berdengkur," katanya.

Beliau berkata, masalah berdengkur tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh memberi kesan untuk jangka pendek dan panjang terhadap kesihatan.

"Seseorang itu boleh mengalami masalah kering tekak apabila bangun daripada tidur dan mengalami kelesuan atau mengantuk.

MESIN PAP untuk masalah OSA yang sederhana atau teruk.
MESIN PAP untuk masalah OSA yang sederhana atau teruk.

"Bagi jangka panjang, seseorang itu boleh mengalami penyakit OSA yang boleh mengakibatkan beberapa masalah lain (daripada penyakit ini) termasuk kemalangan jalan raya, kehilangan pekerjaan, kurang daya ingatan dan sebagainya," katanya.

Tambahnya, rawatan untuk masalah berdengkur bermula dengan penilaian gejala dan pemeriksaan fizikal yang menyeluruh.

"Sekiranya pesakit mempunyai gejala penyakit OSA dan pemeriksaan fizikal menunjukkan risiko yang tinggi, pesakit disarankan untuk menjalani ujian tidur yang boleh memberi gambaran keterukan penyakit melalui bacaan Respiratory Disturbance Index (RDI)," katanya.

Kemudian pakar akan menentukan pelan rawatan yang bersesuaian berdasarkan tahap kegemukan, hasil pemeriksaan fizikal, tahap bacaan RDI, usia, komplikasi atau kesan jangka panjang yang dialami dan keadaan kesihatan pesakit secara keseluruhan.

DR Mawaddah
DR Mawaddah

"Lazimnya, pelan rawatan ini membabitkan penggunaan mesin Positive Airway Pressure (PAP) ketika tidur (bagi OSA tahap sederhana atau teruk) atau pembedahan (bagi Primary Snoring atau OSA tahap ringan).

"Pesakit juga amat disarankan untuk mengamalkan gaya hidup sihat bagi mengawal berat badan. Bagi pesakit yang mengalami masalah obesiti yang teruk dan tidak boleh dirawat melalui penjagaan pemakanan serta senaman, pembedahan bariatrik boleh dilakukan bagi mengawal keadaan ini," katanya.

Jelasnya, tahap kesedaran berkenaan masalah berdengkur di negara ini dilihat semakin meningkat apabila ramai pesakit tampil mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun, kebanyakan pesakit sukar untuk mengubah gaya hidup sedia ada.

"Komitmen kepada pelbagai rawatan untuk menurunkan berat badan dan pemakaian mesin PAP belum berada pada tahap yang membanggakan. Situasi ini juga dilihat sama di negara maju yang lain," katanya.

Dr Mawaddah berkata, dalam membendung masalah tidur berdengkur ini, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati termasuk mengawal pemakanan serta berat badan bagi mengurangkan risiko berdengkur.

"Perubahan gaya hidup adalah sukar, namun ia diperlukan untuk menghentikan pandemik obesiti.

"Pencegahan penyakit OSA mengurangkan risiko penyakit kronik yang lain dan risiko kematian secara keseluruhannya. Bersama-samalah kita menjaga kesihatan tidur kita dan mengamalkan gaya hidup yang sihat, sebelum ia terlambat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 7:00 AM