Oleh Erywan Norshal


Volkswagen Group Malaysia menawarkan model pemasangan tempatan (CKD) menerusi Volkswagen Passat dipertingkat pada harga kompetitif.

Model sedan paling popular dalam rangkaian produk Volkswagen di Malaysia ini dihasilkan dengan spesifikasi yang menjanjikan pemandu sistem perhubungan, keselamatan dan keselesaan dipertingkatkan.

Antara penambahbaikan dilakukan ialah rangkaian pilihan perhubungan termasuk Bluetooth, sambungan telefon dan penyaluran audio.

Tempat duduk hadapan boleh laras 12 hala dengan fungsi memori pada tempat duduk pemandu bagi memastikan keselesaan serta tidak memenatkan ketika perjalanan jauh.

Bagi ciri keselamatan, Passat dipertingkat ini dilengkapi sistem penggera antikecurian dengan pelumpuh elektronik, menjanjikan perlindungan maksimum daripada dicuri, selain dipadankan cermin sisi boleh dilipat secara elektrik.

Daripada aspek kuasa, enjin suntikan petrol empat silinder pengecas turbo TSI berkuasa 1.8 liter menyalurkan 158 kuasa kuda (hp) dengan tork setinggi 250Nm. Padanan kotak gear Direct Shift (DSG) tujuh kelajuan itu membolehkan ia memecut dari 0-100 kilometer sejam (km/j) dalam 8.5 saat, dengan keupayaan memecut sehingga 220km/j.

Kotak gear DSG tujuh kelajuan membolehkan pemandu merasai penukaran gear yang lancar dan pantas, malah jimat minyak dengan bacaan purata 7 liter bagi 100 kilometer (km)

Passat dipasarkan dengan enam warna pilihan iaitu putih, coklat muda, perak, hitam, coklat gelap dan kelabu pada harga RM169,888. Keterangan lanjut kenderaan itu, sila melayari www.volkswagen.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015 @ 5:01 AM