Lizam Ridzuan

VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) melancarkan model Passat 2.0 TSI Elegance dengan ciri baharu pada bahagian luaran dan dalaman dipertingkatkan.

Antara elemen terkini ditawarkan ialah profil hadapan dan belakang serta rekaan lampu LED signatur baharu dan rim aloi “Liverpool” bersaiz 18 inci yang menarik.

Selain itu sistem ketersambungan dengan skrin sesentuh bersaiz 9.2 inci melalui aplikasi APP-Connect tanpa wayar juga adalah yang pertama ditawarkan untuk model Volkswagen di negara ini.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, model Passat adalah ikon dalam kelas sedan saiz pertengahan dan menjadi pilihan dalam kalangan eksekutif di seluruh dunia.

“Ia terjual melebihi 30 juta unit sejak diperkenalkan dan yang kedua terlaris selepas model ikonik Golf. Dengan pengenalan varian Elegance ini menjadikan rekaannya lebih kemas dengan prestasi enjin terbaik,” katanya pada majlis pelancaran di Kuala Lumpur, hari ini.

ERIC Winter pada majlis pelancaran Passat 2.0 TSI Elegance baharu. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
ERIC Winter pada majlis pelancaran Passat 2.0 TSI Elegance baharu. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Passat Elegance baharu dikuasakan oleh enjin turbo 2.0TSI dengan kotak gear klac basah direct shift 7-kelajuan (DSG) baharu yang ditambah baik menjana kuasa sehingga 190PS dan dan tork 320Nm.

Enam warna ditawarkan dengan dua kemasan iaitu metalik terdiri daripada warna biru (Aquamarine Blue), kelabu (Manganese Grey), perak (Reflex Silver) dan coklat (Tamarind Brown).

Sementara warna dengan ciri mutiara ialah hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White).

Untuk pasaran Malaysia, Passat Elegance baharu dijual pada harga RM187,990 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan dan bantuan di jalanan serta tiga tahun penyelenggaraan percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 8:55 PM